Oleh Nur Syahidani Mohd Fauzi & Che Nurul Izzati Che Ali
Gambar hiasan. - Foto Bernama |
RANTAU PANJANG: Penduduk kampung sedang membuat persiapan rapi sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba dengan mengemas barang-barang berharga di kediaman masing-masing, semalam.
Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dikenali sebagai Aisyah, 21, berkata, beliau bersama keluarga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat turun berterusan selama tiga hari. “Jika hujan berterusan memang air banjir akan besar, bermakna air akan naik sampai ke atas rumah dan kami terpaksa berjaga malam untuk memastikan barang-barang berharga dan peralatan rumah sentiasa selamat,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Aisyah berkata keperluan asas seperti beras, tepung dan gula adalah antara keperluan yang menjadi keutamaan ketika tibanya musim tengkujuh.
Tambahan lagi, jalan yang ada untuk keluar membeli barang keperluan adalah terhad, berikutan banjir yang berlaku di kampung sebelah, Kampung Padan Licin menyukarkan sedikit pergerakan keluar masuk untuk sebarang urusan. Hal ini kerana, kawasan Kampung Pandan Licin yang terletak di kawasan pedalaman menjadi salah satu faktor paras air meningkat dengan cepat.
"Bagaimanapun, kawasan perkampungan ini dijangka mengalami banjir jika hujan tidak berhenti selama empat hingga lima hari dan jika banjir besar berlaku, pencawang awam terpaksa ditutup oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merangkumi suis utama bekalan elektrik," katanya.
Sementara itu, meninjau kepada persiapan dari segi capaian internet ketika musim tengkujuh, beliau mengakui mengalami sedikit kesukaran untuk mengikuti kelas secara atas talian disebabkan capaian internet yang lemah ketika berlakunya hujan.
“Jika capaian internet lemah, saya terpaksa keluar bandar untuk mencarinya dan ada masanya saya terpaksa tumpang duduk di rumah saudara,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, kerajaan Kelantan turut menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta jika perlu berpindah ke tempat yang lebih selamat, lakukan dengan segera.
Comments
Post a Comment