Timbalan Penghulu Kampung Tebing, Encik Haji Mohd Isa Bin Che Mad, berkata, seramai 13 orang mangsa membabitkan tiga buah rumah ahli keluarga yang terlibat dalam banjir demikian berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, penduduk di tiga buah rumah tersebut sering menjadi mangsa keadaan kerana kawasan yang diduduki mereka itu terletak di kawasan tanah rendah dan kedudukannya berdekatan dengan sungai.
“Misi bantuan makanan dan barangan asas seperti barangan basah bagi keperluan dapur dan keperluan isi rumah telah diagihkan kepada kesemua mangsa yang terlibat dengan harapan misi ini sedikit sebanyak dapat membantu, mengurangkan beban serta menampung keperluan harian mereka buat sementara waktu menunggu air banjir surut,” katanya lagi.
Seorang mangsa banjir yang mana merupakan bekas pelajar USIM, Nurainul Husna binti Ahmad Asri, 24, berkata, kejadian banjir ini merupakan kejadian biasa yang sering dialaminya kerana mereka sekeluarga menetap berhampiran dengan sungai.
“Kami sudah biasa dengan situasi ini kerana hampir setiap tahun kami melalui pengalaman sebegini. Namun, kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Menurutnya lagi, segala dokumen penting dan perabot rumah yang sedia ada telah pun diselamatkan dan ditempatkan di bahagian atas rumahnya tanpa sebarang kerisauan.
Difahamkan, kesemua mangsa banjir dipercayai tidak dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Kampung Tebing kerana paras air banjir pada ketika itu masih terkawal dan berada pada ketinggian 0.5 meter sahaja. Di samping itu, mereka yakin bahawa air banjir yang masuk ke dalam rumah adalah pada paras air yang terkawal berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini.
Comments
Post a Comment