Calon PMPP USIM 21/22 sedia berkhidmat

Oleh Muhammad Syukri Rostam & Muhammad Hazim Patah Borahman

Poster Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USIM. - Foto laman web pilihmpp.usim.edu.my

Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza (tengah) bersama barisan ahli Pengurusan Universiti dan Badan Hal Ehwal Pelajar (BHEP),

USIM menunjukkan peratusan pelajar yang turun mengundi. - Foto Instagram @usimofficial

NILAI: Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi sesi 2021/2022 yang telah berjaya mendapat kepercayaan serta mandat daripada mahasiswa dan mahasiswi USIM pada 9 Disember 2021 sedia berkhidmat.


Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) merupakan satu platform kepada mahasiswa dan mahasiswi USIM untuk memilih calon-calon pemimpin yang sesuai dan berkebolehan bagi menggantikan tampuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi yang lalu sekaligus menjadi pimpinan tertinggi mahasiswa dan mahasiswi dalam membawakan suara pelajar.


Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza bin Wahiddin berkata, jumlah yang diperoleh setakat jam 6.00 petang itu menandakan seramai 10,065 orang mahasiswa telah turun mengundi.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan, khidmat dan juga penglibatan untuk menjayakan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM kali ini. Dan ini adalah satu proses yang penting di mana wakil pelajar inilah yang akan bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh universiti untuk kebajikan dan kebaikan kita bersama. Tahniah dan syabas kepada 10,065 orang mahasiswa yang telah turun mengundi bersamaan 89.54 peratus secara keseluruhannya,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan PMPP di Dewan Kuliah Pusat 3 USIM dekat sini, malam ini.


Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza juga memaklumkan pada PMPP kali ini terdapat 27 kerusi dibuka untuk pemilihan iaitu 18 kerusi fakulti dan 9 kerusi umum. Setelah tamat sesi pencalonan terdapat 6 kerusi fakulti yang telah dimenangi tanpa bertanding dan 21 kerusi yang dipertandingkan iaitu melibatkan 12 kerusi fakulti dan 9 kerusi umum.


“Kesungguhan yang ditonjolkan oleh semua calon dalam masa tempoh berkempen selama dua minggu ini telah menunjukkan potensi dan kecaknaan mereka bagi menggalas tanggungjawab dan bersedia untuk berkhidmat sebagai pimpinan tertinggi badan pelajar. Manifesto yang dibawakan juga amat relevan dan signifikan dalam menyentuh isu kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar sejajar usaha mencorakkan kewibawaan dan kredibiliti mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia lebih-lebih lagi melibatkan pembelajaran dalam talian masa kini,” katanya lagi.







 

Comments

Post a Comment