Istiadat Konvokesyen USIM dalam norma baharu

 Oleh Nurul Huda Athira Mohd Yunus & Nurul Nabilah Mohd Jamaludin

Rushdah Rezuan merupakan salah seorang graduan yang berpeluang menerima segulung sijil secara fizikal dalam norma baharu pada Majlis Konvokesyen USIM kali ke-19. - Foto Rushdah Rezuan

NILAI: Istiadat Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-19 telah dilaksanakan secara fizikal bermula 23 hingga 30 November 2021 dalam suasana norma baharu yang menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melibatkan 2,562 graduan dari universiti tersebut.

Majlis konvokesyen ini telah berlangsung secara fizikal dan dilaksanakan selama lapan hari melibatkan lapan sidang bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Pengisytiharan pembukaan konvokesyen disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM.

Berikutan penularan pandemik COVID-19 iaitu kira-kira dua tahun yang lalu telah memberi kesan negatif keseluruh dunia, maka ‘Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim yang Berdisiplin’ telah dipilih sebagai tema konvokesyen pada kali ini.

Selain itu, Menurut Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 11 Oktober 2021, tiada halangan terhadap pelaksanaan Majlis Rasmi Kerajaan untuk menganjurkan majlis konvokesyen bagi mana-mana IPT di negeri Fasa 3 dan 4 dalam mematuhi SOP yang ditetapkan serta arahan semasa oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.

Sehubungan dengan itu, Pelajar, Rushdah Rezuan, 26, berkata dia amat gembira berpeluang bergraduasi secara fizikal kerana dapat naik ke atas pentas untuk menerima segulung sijil. 

Seterusnya, pengalaman yang dapat dikongsikan oleh beliau ialah pihak universiti berusaha untuk menyediakan dan menguruskan konvokesyen mengikut SOP yang telah ditetapkan. 

“Sewaktu naik ke pentas untuk menerima sijil, saya dan rakan-rakan perlu memakai pelitup muka manakala selepas penyampaian sijil para graduan dibenarkan untuk menangkap gambar bersama rakan dan ahli keluarga mengikut SOP yang ditetapkan. Walau bagaimanapun majlis berjalan dengan lancar,” katanya sebagai pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan. 

Semua graduan, petugas dan ibu bapa yang berada di dalam dewan perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 ketika berlangsungnya majlis konvokesyen berkenaan.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen ke-19 USIM, seramai 30,399 alumni telah dilahirkan bagi menyambung legasi USIM yang terdiri dalam kalangan ilmuwan, pemimpin dan profesional dalam pelbagai bidang yang mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli.



Comments