NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjadi salah satu universiti di Malaysia yang berjaya menarik minat pelajar dari luar negara untuk menyambung pengajian di sini.
Mengikut data terkini yang telah dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM telah menunjukkan seramai 808 pelajar antarabangsa sedang menyambung pengajian di USIM setakat ini. Antaranya terdiri daripada negara Singapura, Jepun, Indonesia, Palestin, Mesir dan Jordan. Kebanyakan daripada mereka melanjutkan pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Kedoktoran (PhD).
Menerusi satu temubual yang diadakan bersama seorang bekas pelajar daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM yang berasal dari Singapura, Hafiah Sazali, 25, berkaitan sebab utama beliau tertarik untuk menyambung pengajian di USIM. “Apa yang membuatkan ramai pelajar daripada Singapura tertarik atau berminat untuk sambung belajar di USIM adalah kerana USIM cukup terkenal di Singapura disebabkan sebelum berlakunya wabak, USIM akan sentiasa datang ke Singapura dan melawat kebanyakan madrasah di sini. Bukan itu sahaja, sebab mereka datang ke sini adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan USIM kepada kami,” katanya.
Hafiah berkata, “Antara sebab lain yang menyebabkan kami berminat untuk belajar di USIM adalah kerana bagi kami, USIM merupakan institusi pertama yang menerima kami berbanding universiti lain seperti UIA dan UM. Selain itu, ada juga pelajar yang memutuskan untuk melanjutkan pengajian di USIM kerana itu merupakan pilihan ibu bapa mereka.”
Noor, 21, pelajar USIM dari luar negara yang berasal dari Negara Mesir, telah berkata bahawasanya persekitaran universiti Islam yang nyaman disini memberikan perasaan yang berbeza kepada dirinya yang membuatkannya tertarik untuk menyambung pengajian di sini.
Menurut seorang lagi Mahasiswa tahun 3 daripada Jepun yang kini sedang menyambung pengajian dalam kos Bahasa Arab dan Komunikasi, Natsuumi Tanaka, 27, berkata, “Kemahiran umum dalam berbahasa Arab adalah salah satu perkara utama yang menarik minat saya untuk belajar di USIM.”
“Jika pelajar asing mahu menyambung pengajian di Malaysia, perkara yang penting juga adalah pelajar itu perlulah mempelajari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga budaya mereka di Malaysia,” tambahnya lagi.
Sementara itu, GISO (Global Islamic Students Outreach) yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 juga merupakan salah satu program di USIM yang memberikan banyak pendedahan mengenai universiti yang berprinsip Aqli dan Naqli kepada negara luar serta inilah antara faktor yang menjadi tarikan pelajar asing untuk meneruskan pengajiannya di USIM.
Comments
Post a Comment