Oleh Wardhatul Miqqias Apandi & Nur Nabila Syuhada Azhar
Enam
pertandingan yang diadakan sepanjang festival berlangsung. - Foto Poster Festival
Bahasa Arab FPBU
NILAI: Persatuan Mahasiswa Nadi Thaqafah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah
menyambut Hari Bahasa Arab Sedunia bersama Universitas Muhammadiyah Yogyakarta
(UMY), Indonesia dengan menganjurkan Festival Bahasa Arab peringkat
antarabangsa.
Nadi Thaqafah
merupakan badan pelajar di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) di USIM.
Festival ini bertujuan memeriahkan lagi sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang
disambut setiap 18 Disember.
Nadi Thaqafah
mengambil peluang menganjurkan beberapa pertandingan dalam bahasa Arab secara
dalam talian selaras dengan tema yang telah dikeluarkan oleh UNESCO iaitu “Bahasa Arab Sebagai Sebuah Jambatan Antara
Peradaban.”
Antara
aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti gubahan lagu dan menyanyi,
menghasilkan video iklan, reka poster, memasak makanan tradisional, cerita
kisah Covid-19 dan penulisan khat kaligrafi. Kesemua aktiviti ini dijalankan di
kediaman pelajar masing-masing dan hasil karya perlu dimuat naik melalui
platform Youtube.
Pengarah
festival, Nik Muhammad Aizat bin Nik Ramani berkata, objektif festival diadakan
adalah untuk mengangkat martabat bahasa Arab serta meningkatkan mutu pemikiran
kreatif dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi khususnya penggunaan bahasa
arab.
Menurut
Aizat, pelbagai cabaran dan rintangan telah mereka hadapi dalam menjayakan
festival tersebut. Termasuk cabaran dalam mendapatkan tajaan daripada syarikat
perniagaan tempatan. Namun, dek kerana masa yang singkat membuatkan mereka
tidak dapat peroleh tajaan seperti yang dihajatkan. Inisiatif lain telah
diambil agar festival dapat berlangsung seperti yang diharapkan iaitu dengan
cara membuat permohonan daripada pihak fakulti untuk penambahan bajet.
“Mengutamakan
bahasa Arab bukan hanya semata-mata memfokuskan di dalam fakulti sahaja, malah
perlu diamalkan dan diaplikasikan di luar fakulti juga khususnya dalam membantu
masyarakat di luar sana.
“Harapan saya adalah agar orang ramai tahu tentang Hari
Bahasa Arab Sedunia ini terutama sekali mahasiswa mahasiswi. Selain itu,
menggalakkan pelajar untuk terus bersemangat dalam mengaplikasikan bahasa Arab
dan jadikan ia sebagai bahasa kedua komunikasi dalam kehidupan,” ujar Nik
Muhammad Aizat pada akhir sesi wawancara berkenaan harapan beliau terhadap
festival tersebut.
Comments
Post a Comment