USIM beriadah bersama golongan OKU

Oleh Aisyah Rosli & Nurhuda Zainudin

Pelajar USIM berlari sekitar kampus bersama komuniti setempat dan golongan OKU. 
- Foto StraComm USIM

NILAI: Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang (PMFSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjur program larian amal ‘Light Up OKU’ di Kompleks Sukan Tunku Najihah untuk memupuk keprihatinan siswa terhadap golongan istimewa.

Lebih daripada 300 mahasiswa dan orang awam menyertai larian lima kilometer ini. 30 orang antaranya merupakan golongan orang kurang upaya (OKU). “Acara larian amal ini mendapat galakan yang baik daripada orang ramai, lebih menarik lagi apabila program ini turut dimeriahkan dengan penglibatan peserta OKU,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato Dr. Roshada Hashim menerusi Berita USIM.

Yang turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Siswazah USIM, Prof. Dr Rozhan Mohd Idrus, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Radhi Ibrahim dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr. Arif Fahmi Md Yusuf.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Syauqi Mardia Baharudin menyatakan bahawa 20 peratus daripada kutipan yuran penyertaan program larian berkenaan akan disalurkan kepada persatuan dan badan kebajikan.

Beliau turut merasakan bahawa acara larian amal ini bukan sahaja membantu warga kampus USIM untuk bergaul dengan masyarakat setempat, malah mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan beriadah.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat mempromosikan kampus serta kepelbagaian kemudahan yang disediakan oleh USIM kepada masyarakat luar,” tambah beliau lagi.

Program larian amal ‘Light Up OKU’ merupakan acara utama yang diadakan bersempena Mahrajan Sambutan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM buat kali ke-6 (MANSAF 6.0).

Di samping itu, USIM banyak memperkenalkan program kesedaran golongan OKU di kampusnya. Bahkan program mega OKU Berdoa: Bicara Tanpa Hijab merupakan alternatif untuk menyambut Hari OKU Sedunia yang jatuh pada 3 Disember setiap tahun. Program anjuran Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Institut Sains Islam USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) ini pertama kali dilancarkan pada 2015 dan diteruskan hingga kini. 

Pada tahun ini, program OKU Berdoa 2021 bertemakan Harapan Subur Kembali julung kalinya diadakan secara hibrid, di mana bersiaran secara fizikal di pentas Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP 3) USIM dan secara maya di Facebook dan YouTube USIMTV. Barisan penterjemah bahasa isyarat atau lebih dikenali sebagai Da’i Pekak turut hadir untuk membantu komuniti OKU pekak memahami kandungan dan pengisian majlis. 

Selain itu, persembahan para peserta dalam kalangan anak-anak istimewa sungguh menyentuh perasaan dan diakhiri dengan persembahan daripada Ustaz 3 Beradik dan diserikan lagi anak Ustaz Zarifi, Anas Amini yang merupakan anak istimewa kategori HIE (hyponic-ischemic encephalotopathy) ketika lagu Si Bujur Sireh didendangkan.

Tangkap layar program OKU Berdoa 2021: Harapan Subur Kembali yang bersiaran secara langsung di YouTube USIMTV.
- Foto Youtube USIMTV



Comments