Oleh Noramirah Syahirah Mohd Nor & Nurul Basyirah Mohd Baki
MELAKA TENGAH: Bermula sekadar hobi untuk mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, kini aktiviti tanaman hidroponik yang dilakukan oleh dua sahabat baik ini dapat menangani harga sayur yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.
Menyedari tiada pekerjaan yang hendak dilakukan dapat memberi Nurul Ashikin Abdul Halim, 28, dan Norhaya Jamal, 38, pendapatan sampingan melalui jualan sayur secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat. Nurul Ashikin berkata, mulanya hasil tanaman berkenaan digunakan sendiri untuk memasak dan diberikan kepada jiran dan saudara-mara terdekat.
Oleh itu, anak sulung daripada lima adik-beradik ini berkata, dalam keadaan sekarang banyak barangan keperluan dan sayur-sayuran naik harga jadi tidak rugi berbudi pada tanah dan jika kita rajin menanam, kita dapat hasilnya dan dapat jimatkan belanja.
“Hanya bermodalkan RM50, mereka mula menanam sayur menerusi teknik hidroponik menggunakan bahan kitar semula seperti botol, gabus dan besen di belakang rumah mereka, di Kampung Tambak Sebelong,” jelasnya.
“Kami sangat teruja dan gembira apabila tanaman membuahkan hasil dalam tempoh dua minggu lebih, sekali gus memberi semangat untuk kami terus bercucuk tanam pelbagai sayur-sayuran lagi, menggunakan kaedah hidroponik dan pasu.” Tambahnya lagi.
“Tanaman yang mereka usahakan adalah bebas racun serangga, dengan penambahan cuka kayu, bawang putih dan kulit telur untuk menghalau serangga perosak,” katanya.
Nurul Ashikin berkata, sehingga kini mereka tidak lagi membeli sayur-sayuran seperti sawi, bayam, terung panjang dan bulat, bendi merah dan hijau, tomato, bayam Brazil, kubis bunga, daun sup, cili padi, cili hidup, bunga telang dan cili benggala di kedai atau pasar, kecuali jika sayur tersebut tidak ditanam, justeru secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan dapur.
“Kami berharap impian kami untuk membuat sebuah kebun terbuka serta memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan sayur-sayuran secara percuma ini dapat dicapai pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat menikmati hasil sendiri tetapi juga dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.
Comments
Post a Comment