NILAI: Seorang pelajar Kolej Genius Insan iaitu adik Muhammad Zulfikar Firas Putra berkata seimbang akademik dan Al-Quran merupakan rahsia kepada kecemerlangannya di samping dorongan dan galakan daripada ibu bapanya.
Muhammad Zulfikar Firas Putra Bin Zulpakar Pahmi, 12, merupakan pelajar cemerlang hafazan Al-Quran dan akademik di Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkongsikan perjalanan pengajian di tempat pengajian dan rahsia kejayaannya dalam bidang Al-Quran.
Bertanyakan mengenai pengurusan masa antara belajar dan menghafal Al-Quran, Muhammad Zulfikar Firas Putra berkata sudah menjadi rutin hariannya bangun di awal pagi untuk menghafal Al-Quran.
“Alhamdulillah setakat ini saya masih dapat seimbangkan antara Al-Quran dan akademik namun cabarannya adalah kekangan masa dan silibus pengajian yang semakin mencabar. Namun, disebabkan jadual kelas akademik yang terlalu padat iaitu sehingga jam 5 petang di samping aktiviti-aktiviti lain seperti solat berjemaah dan waktu makan, maka kadang-kadang saya tidak ada banyak masa untuk menghafal Al-Quran,” katanya.
Menurut Muhammad Zulfikar, beliau akan menyiapkan tugasan sekolah semasa hujung minggu atau pada waktu kelas. Manakala menghafal Al-Quran pula semasa waktu kelas hafazan pagi dan malam, kelas persediaan atau hujung minggu di mana beliau perlu membahagikan masa dengan bijak untuk menyiapkan tugasan sekolah dan menghafal Al-Quran.
“Ramai yang berkata saya seorang yang “gifted” dalam hafazan dan akademik. Rahsianya mungkin dari kisah latar belakang saya di mana bermula dari kecil saya sudah mula menghafal surah-surah lazim sejak berumur 5 tahun sehinggalah umur 8 tahun saya sudah dapat menghafal 55 surah ketika itu di sekolah swasta,” ujar Muhammad Zulfikar.
Beliau juga berkata apa yang menariknya ketika umur 9 dan 10 tahun lagi, beliau sudah melibatkan diri ke pertandingan hafazan Al-Quran dan mendapat johan sehingga ke peringkat Wilayah. Walaubagaimanapun beliau tidak dapat ke peringkat kebangsaan oleh sebab bersekolah di sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang hanya ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Segala puji bagi Allah pada tahun 2021 ketika saya masih berumur 12 tahun, saya berjaya menyambung pelajaran di Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Semuanya kerana dorongan dan galakan ibu bapa yang merupakan titik kejayaan saya di mana meraka sentiasa menyokong saya dalam bidang yang saya ceburi sehingga sekarang. Saya sangat berharap agar dapat mengkhatamkan Al-Quran 30 juzuk pada tahun 2023 kerana saya akan menduduki SPM pada tahun 2024,” katanya.
Di akhir wawancara, Zulfikar menitipkan pesanan iaitu, “Dalam menghafal Al-Quran atau apa jua yang kita lakukan, kita perlulah istiqamah, berdisiplin, berdoa dan bertawakal kepada Allah.”
Comments
Post a Comment