Suwaibah Mustapha bersama ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen USIM kali ke-19. - Foto Instagram @usimofficial |
NILAI: Seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2021, Suwaibah binti Mustapha, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia kali ke-19 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC) USIM mengatakan antara rahsia disebalik kesungguhannya dalam meneruskan pengajian adalah suntikan kata kata semangat dari kedua ibu bapanya.
Graduan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Suwaibah Mustapha, 24, kelahiran Kelantan merupakan pelajar cemerlang sejak dari bangku persekolahan lagi.
Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang empat tahun berada di USIM, beliau mengakui, bukan mudah untuk kekal komited terhadap pengajian memandangkan beliau begitu aktif dalam kelab debat USIM dan merupakan pendebat terbaik Bahasa Arab yang mewakili USIM.
“Saya amat bersyukur dan teruja diatas penerimaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dan kejayaan ini bukan datang daripada saya seorang namun, dengan restu kedua ibubapa serta adik beradik juga merupakan salah satu keperluan utama yang diperlukan bagi mencapai prestasi yang saya perolehi pada hari ini, kerana mereka yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi,” katanya.
Ketika ditanya tentang rahsia disebalik kesungguhan beliau dalam meneruskan pengajian, beliau mengakui kata-kata semangat dari kedua ibu bapanya merupakan pembakar semangat untuk beliau terus berusaha.
“Bertabahlah dalam apa jua halangan dan cabaran yang mendatang dan kuatkanlah semangat serta tambahkan lagi ilmu supaya Suwaibah dapat mengharungi masa yang akan datang dengan baik dan banyakkan bersabar,” pesan ibunya.
Ayahnya juga turut berpesan kepada Suwaibah serta graduan di luar sana agar sentiasa perbaharui niat dan jauhi daripada perasaan bangga mahupun takabbur ataupun sifat yang mazmumah.
Comments
Post a Comment