Oleh Nur Ainaa Nasuha Hafisal Effandi & Nurul Anis Abdullah
NILAI: Program FPBU Got Talent merupakan satu program hiburan yang telah dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan kerjasama Nadi Thaqafah bagi mencungkil bakat terpendam mahasiswa dan mahasiswi yang diadakan di Dewan Kuliah Sederhana, Universiti Sains Islam Malaysia pada 22 November 2019.
FPBU Got Talent membudayakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris melalui penganjuran aktiviti bersifat dinamik, ilmiah yang berteraskan naqli dan aqli telah berjaya membuktikan bahawa mahasiswa dan mahasiswi FPBU mempunyai bakat terpendam yang mampu berdiri sama tegak, duduk sama rendah dengan fakulti-fakulti lain.
Antara kategori yang telah dipertandingkan dalam program ini ialah teater muzikal, tilawah Al-Quran, Nasyid, Akustik, Persembahan Magik, Puisi (Slam Poetry), Dikir Barat, Syarahan Bahasa Arab dan Syarahan Bahasa Inggeris.
Secara amnya, pelaksanaan program ini merangkumi tiga peringkat iaitu peringkat saringan, semi final dan akhir yang bertujuan mencari pemenang berkualiti selain dari mencipta persaingan sihat antara peserta.
Antara persembahan dipertandingkan dalam program ini telah diadili oleh dua orang juri tetap dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama iaitu Penyelaras Nadi Thaqafah, Encik Hamadallah Mohd Salleh dan pensyarah Bahasa Inggeris, Doktor Ramiaida Darmi manakala dua orang juri jemputan iaitu Puan Arohiyah Abdullah dari Pusat Kebudayaan Pelajar serta Encik Muhammad Husaini, Qari Negeri Sembilan yang juga merangkap sebagai alumni FPBU.
Keputusan persembahan memberi kejutan kepada Wan Muhammad Sofwan, pelajar tahun 4 sebagai peserta solo yang mempersembahkan bakat dendangan puisi sarkastik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab telah dinobatkan sebagai johan, manakala naib johan ialah Soutu Syabab yang mempersembahkan Dikir Speaking, dan disusuli tempat ketiga dari persembahan teater muzikal kumpulan Babyboo Son of Abi .
Program ini disambut dengan meriah dengan kehadiran seramai lebih kurang 500 orang penonton dan telah menawarkan hadiah yang lumayan untuk pemenang utama iaitu sebanyak RM1,000 disusuli tempat kedua dengan RM700 dan tempat ketiga RM500.
Menurut Mantan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Prof. Dr. Madya Nurkhamimi Zainuddin dalam ucapannya pada akhir program berkata “Dengan adanya program seperti ini, kita dapat lihat bakat mahasiswa dan mahasiswi kerana sebelum ini, saya pernah mendengar daripada beberapa pensyarah bahawa ada peserta FPBU Got Talent sebenarnya pendiam tetapi mempunyai bakat luar biasa apabila berada di luar kelas” dan beliau juga berbangga dengan kejayaan anak-anak FPBU yang mampu membina keyakinan diri dan mencipta peluang melalui penganjuran aktiviti yang menarik.
Comments
Post a Comment