Masalah capaian internet bukan penghalang menghadapi peperiksaan online

Oleh Syaidatul Najwa Sharifuddin & Nurul Athirah Amirah Che Fauzi

Sekitar rumah yang disewa oleh Farahani sepanjang peperiksaan berlangsung. - Foto Nurul Farahani

PASIR MAS: Musim peperiksaan akhir secara dalam talian yang bakal menjelang membuatkan seorang mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengalami masalah capaian internet di kediaman rumahnya mencari alternatif dengan menyewa sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan demi mendapatkan akses internet.

Nurul Farahani Najihah binti Abdullah, 22, merupakan seorang mahasiswi tahun 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpaksa menyewa sebuah rumah yang berjarak 15 minit dari kediamannya demi mendapatkan akses internet yang stabil sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir.

Menurut Farahani, penyewaan rumah itu dibuat ekoran capaian internet di kawasan tersebut adalah lebih baik berbanding di kediamannya yang terletak di kawasan pedalaman.

"Walaupun USIM menawarkan kolej kediaman untuk pelajar yang mempunyai masalah capaian internet, namun saya tidak dapat kembali ke sana kerana perlu menjaga ibu yang kurang sihat."

"Saya memilih rumah sewa ini kerana berdekatan dengan kediaman saya supaya selepas tamat waktu peperiksaan, saya dapat berulang alik untuk menguruskan keperluan harian ibu saya," kata Farahani.

Tambah Farahani lagi, dia mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian hanya dengan menggunakan bantuan modem wifi, namun capaian internet masih tidak dapat menyokong dan sering terkeluar semasa kelas. Malah masalah ini menyebabkan dia sukar untuk memuat naik atau mencari bahan pembelajaran.

Hal ini menyebabkan Farahani membuat keputusan untuk menyewa rumah supaya dapat melihat semula rakaman pembelajaran sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan dapat mengakses informasi penting berkaitan peperiksaan akhir. Tambahan pula, dia risau sekiranya liputan internet tiba-tiba terputus semasa peperiksaan sehingga tidak dapat menjawab dengan baik dan banyak membazir masa.

Walaupun tidak mudah menghadapi pembelajaran dan peperiksaan yang dijalankan secara dalam talian ianya tidak mematahkan semangat Farahani dalam melakukan persediaan dan persiapan awal dalam menghadapi peperiksaan akhir. "Sesungguhnya masalah capaian internet yang terjadi bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan," katanya lagi. Bak kata pepatah hendak seribu daya, taknak seribu dalih.





 

Comments