Arahan yang diberikan oleh seorang pensyarah USIM kepada pelajarnya untuk menggunakan aplikasi TikTok sebagai platform menghantar tugasan. - Foto Telegram
NILAI: Pensyarah USIM menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di mana aplikasi TikTok ini sangat popular di kalangan generasi pada masa kini.
Seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia atau lebih dikenali dengan panggilan USIM yang terletak di daerah Nilai, Negeri Sembilan, Encik Hamadallah bin Mohammad Salleh memilih untuk menggunakan aplikasi TikTok sebagai salah satu daripada medium untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi dan Kebudayaan bermula bulan lepas.
“Ramai dalam kalangan pelajar saya mempunyai akaun bagi aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi ini sebagai medium pembelajaran untuk subjek saya, pendek kata mendidik mereka dengan cara yang mudah untuk menarik perhatian mereka,” katanya.
Melalui aplikasi TikTok, kaedah pembelajaran bukan hanya mudah, tetapi mampu menjadikan pelajar lebih kreatif kerana mereka dapat menyunting video pembentangan dengan meletakkan lagu sebagai latar belakang video dan ada juga yang melakukan "transition trend" yang menjadikan sesi PdPR itu tidak membosankan dan lebih menarik.
Kebaikan aplikasi TikTok ini bukan sahaja membantu para pelajar dengan pembelajaran yang menyeronokkan malah para pensyarah USIM juga turut menggunakan medium TikTok ini secara berinovatif. Misalnya dengan membuat video pembelajaran yang sangat ringkas dan padat tetapi mempunyai maklumat lengkap dan amat mudah difahami.
Video pembelajaran dan pengajaran yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok dalam kalangan pensyarah USIM turut dimuat turun, disimpan dan dikongsi bukan sahaja oleh pelajar sendiri, tetapi beberapa pelajar dari sekolah lain yang berminat dengan cara pembelajaran itu juga.
Penggunaan TikTok juga dapat digunakan oleh para pelajar yang berada di kampus mahupun PdPR tanpa perlu mewajibkan pelajar hadir ke kampus pada musim pandemik ini kerana dengan cara ini ianya dapat memudahkan pelajar meneruskan pengajian tanpa halangan dan lebih terdedah kepada teknologi.
Berikutan itu, dengan adanya pelbagai video pembelajaran dan pengajaran di aplikasi TikTok ini, ia dapat meningkatkan lagi kreativiti penyampaian dengan lebih menarik, mudah difahami dan yang paling penting tidak membosankan.
Comments
Post a Comment