Penghidap SLE berjaya genggam segulung ijazah

 Oleh Shaza Maliki & Nurizzati Mansor

Nur Hasni Zahidi semasa Majlis Konvokesyen USIM ke-19 di Nilai, Seremban bulan lalu. - Foto Nur Hasni Zahidi

KEDAH: Penyakit yang dihadapi Nur Hasni Zahidi, 24, merupakan salah seorang graduan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bukan menjadi penghalang dan tidak mematahkan semangat beliau untuk menamatkan pengajian pada November lalu. 

SLE atau Systemic Lupus Erythematosus adalah penyakit kronik autoimun dimana badan menghasilkan protein darah yang banyak. Beliau juga ada berkongsi bahawa penyakit ini akan mengakibatkan antibodi badan menjadi lemah dan menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk melawan penyakit tersebut. 

“Saya sering penat dan tidak mampu untuk melakukan apa-apa aktiviti termasuk untuk menghadiri kelas dan saya hanya mampu berehat sahaja. Berat badan saya juga turun secara mendadak dan hilang sebanyak 7 kg,” katanya. 

Tidak tergambar perasaan beliau seakan tidak percaya ketika mendapat tahu akan penyakit yang dihadapinya ini. Walaupun begitu, beliau sangat kuat dan tabah untuk menerima dugaan dan ujian ini dengan sebaiknya. Beliau terpaksa mengambil ubat setiap hari dan melakukan pemeriksaan di hospital. Beliau percaya disebalik ujian ini terdapat hikmah untuk dirinya.

“Saya selalu demam dan suhunya sangat tinggi sehingga mencecah 38 celcius. Saya fikir benda itu biasa akan tetapi ia lebih merisaukan apabila saya mula mengalami batuk yang teruk. Saya segera ke hospital untuk buat pemeriksaan dan saya didapati menghidap penyakit SLE,” ujar beliau. 

Menurutnya, sepanjang waktu pandemik COVID-19 ini, beliau menghadapi sedikit kesukaran ke hospital di mana beliau terpaksa ulang-alik dari Kedah ke Negeri Sembilan untuk pemeriksaan namun beliau tetap gagahkan diri dan tidak lemah semangat. 

“Saya telah menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) ini selama tiga tahun. Saya mula menghidap penyakit ini pada awal semester pada tahun 2019 sehinggalah sekarang.

“Sewaktu saya menghidap penyakit ini pada mulanya, saya agak tertekan kerana perlu korbankan masa untuk pergi ke hospital mengambil darah dan berjumpa dengan doktor. Sebagai seorang pelajar yang jadual seharian dipenuhi dengan kelas, jadi saya terpaksa korbankan masa belajar untuk pergi ke hospital dan membuat pemeriksaan kesihatan kerana cuti hanya diberikan pada tarikh berjumpa dengan doktor” katanya.

Beliau juga berkata agak sedikit sedih kerana pada usia muda beliau terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Walaupun dirinya tidak seperti orang lain, beliau dapat menerima ketentuan dengan hati yang tenang dan terbuka. 

"Alhamdulillah setelah sekian lama, kesihatannya kini beransur pulih dan beliau menjalani kehidupan dengan sebaiknya dan beliau juga sedang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Al-Munir di Sik, Kedah," katanya. 




Comments