Pendebat USIM rangkul pingat pertandingan debat bahasa Arab di Qatar

 Oleh Nurul Islahiyah Rodenan & Nurul Alia Azuwan

Pendebat USIM 2017. Dari kiri dibarisi Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Anis Amirah Zakaria, Nur Akma Mohd Dali dan Muhammad Syafiq Suhaimi. - Foto Facebook USIM

NILAI: Pendebat bahasa Arab dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengharumkan nama universiti dan Malaysia apabila dinobatkan sebagai naib johan pada 13 April 2017 dan johan pada 20 Mac 2019 dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) bagi kategori bukan penutur asal bahasa Arab di Doha, Qatar.


Pendebat Bahasa Arab USIM 2017 dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Anis Amirah Zakaria, Nur Akma Mohd Dali dan Muhammad Syafiq Suhaimi yang kesemuanya merupakan pelajar jurusan Undang-undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU). Pendebat Bahasa Arab USIM 2019 dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali dan Adam Fikry Bakru Razi, penuntut Fakulti Syariah Undang-undang (FSU) serta Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).


Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab bersama 30 buah pasukan debat universiti dari pelbagai negara, pendebat USIM beraksi cemerlang apabila menang semua perlawanan di peringkat pusingan. Pada tahun 2017 di peringkat akhir, pasukan debat bertemu pendebat dari University Sciences Po Parissa, Perancis dan berjaya menjadi naib juara. Pada tahun 2019, pasukan USIM mengesahkan kemaraan mereka ke pentas akhir apabila berjaya mengalahkan pendebat Meridian Atuluku University, Turki di peringkat separuh akhir sebelum berjaya di pentas akhir menewaskan pendebat University Calgary, Kanada untuk muncul johan.


Selain itu, salah seorang pendebat USIM iaitu Nur Akma turut disenaraikan di ranking kedua sebagai pendebat terbaik keseluruhan IUADC 2017. Kejayaan di Doha, Qatar merupakan kejayaan kedua diraih oleh pasukan debat Bahasa Arab USIM di peringkat antarabangsa pada tahun 2017 selepas dinobatkan sebagai juara Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN di Kampus USIM, Nilai pada awal tahun tersebut. 


Sebagai naib juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate. Menurut kenyataan itu lagi pada tahun 2019, pasukan debat bahasa Arab turut mencipta kejayaan berganda apabila dua pendebat iaitu Muhammad Muzakkir dan Suwaibah masing-masing tersenarai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan IUADC 2019.


IUADC yang diadakan secara dwi tahunan mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan ini menunjukkan bilangan negara yang tinggi menyertai IUADC pada edisi kali ini berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.



Comments