NILAI: Penangguhan program Global Islamic Students Outreach (GISO) yang telah dikuatkuasakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ekoran penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan kepada kumpulan GISO mahasiswa USIM yang telah membuat persediaan untuk program tersebut.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, program GISO yang merupakan satu program pengantarabangsaan berstruktur dan utama bagi mahasiswa USIM sememangnya terpaksa ditangguhkan sementara, sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan semula. Tambahan pula, program ini melibatkan pergerakan mahasiswa ke luar negara yang akan menyebabkan keadaan wabak Covid-19 semasa akan menjadi lebih membimbangkan.
Beliau juga berkata, pihak universiti amat menitikberatkan dan mengutamakan isu keselamatan serta kebajikan mahasiswa. Oleh itu, program ini secara keseluruhannya telah ditangguhkan sementara demi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada mahasiswa. Penangguhan ini berkemungkinan besar akan menimbulkan risiko dan perkara berbangkit kepada kumpulan GISO mahasiswa yang terlibat.
Pengarah GISO ke Jepun, Nik Muhammad Aizat bin Nik Ramani, 21, berkata, pihak kumpulan GISO mereka sememangnya berasa amat sedih dengan penangguhan ini memandangkan mereka telah melengkapkan kertas kerja berdasarkan faktor dalam penyediaan aturcara aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan di sana dan juga diambil kira dalam penjanaan kewangan untuk menjana pendapatan seperti menjual makanan.
“Setiap unit GISO yang telah kami tubuhkan telah pun mencapai hampir 50 peratus dalam gerak kerja selengkapnya. Walaubagaimanapun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, pihak kami terpaksa membuat keputusan yang agak drastik untuk membatalkan hasrat kami untuk ke negara Jepun susulan pandemik kini yang belum ada kesudahannya lagi,” ujarnya.
“Penangguhan ini sememangnya memberi kesan yang agak besar kepada kami kerana tujuan utama program ini diadakan di Jepun adalah untuk membuat pertukaran budaya. Akan tetapi, kami berkemungkinan terpaksa mengadakan program seumpama GISO di dalam Malaysia sahaja walaupun tidak setaraf antarabangsa sekiranya penangguhan ini berlanjutan susulan dengan situasi semasa.
“Oleh itu, kami juga terpaksa mengubah secara menyeluruh aktiviti yang perlu dijalankan bagi program tersebut dan perkara ini juga turut memberi kesan yang mendalam dari segi implikasi kewangan kerana pihak kami terpaksa membuat perbincangan semula bagi memastikan ketetapan aktiviti utama yang akan dijalankan nanti,” katanya ketika dihubungi.
“Tempoh untuk pelaksanaan program ini juga tergendala apabila berlakunya penangguhan tersebut kerana kami menganggarkan bahawa program ini dapat dilaksanakan pada tahun 2 pengajian namun pihak kerajaan dan universiti masih belum mengeluarkan keputusan rasmi berkenaan pelepasan ke luar negara. Oleh itu, kami terpaksa menangguhkan program ini untuk dilaksanakan pada tahun 4 pengajian iaitu pada semester 7 ataupun semester 8,” tambahnya lagi.
Menurut setiausahanya, Nur Aina Atiqah binti Mohd Zamhadi, 22, pula, “Penangguhan program GISO ini juga mempengaruhi markah Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) atas faktor tidak berpeluang melaksanakan program GISO ke luar negara memandangkan tahun hadapan adalah tahun akhir pengajian bagi kami. Tambahan pula, markah GIINA ini amat tinggi dan penting bagi setiap mahasiswa.”
“Peluang berkomunikasi antara masyarakat luar negara juga tidak dapat diaplikasikan dalam persekitaran yang sebenar meskipun saya sememangnya telah menceburi bahasa elektif iaitu bahasa Jepun di peringkat universiti,” ujarnya lagi.
Comments
Post a Comment