Pemilihan MPP USIM secara hibrid

Oleh Nur Sakinah Rakes Junaidi & Aminatun Solehah M.Yusoff

Rajah 1 Kaunter pendaftaran Pemilihan MPP di Dewan Kuliah Pusat 4, USIM. – Foto AMINATUN SOLEHAH
NILAI: Sejajar usaha mengadaptasi norma baharu selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga kampus, buat julung kalinya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) secara hibrid pada tahun ini.

Mantan Yang Di-Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, saudara Muhammad Hannan Mohd Haniff berkata, proses pemilihan ini dijalankan secara hibrid susulan lebih daripada 10% mengalami undi rosak disebabkan masalah internet pada PMPP yang lalu.

“Walaupun ia dijalankan secara hibrid, namun pelajar tetap mengundi secara dalam talian menggunakan peranti yang disediakan di Dewan Kuliah Pusat 4 (DKP 4). Inisiatif ini diambil untuk kemudahan warga kampus yang berada di Nilai dan pelajar yang mempunyai masalah internet susulan Negeri Sembilan telah mencapai fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang memberi kelonggaran untuk mengundi secara fizikal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, seramai 10 calon Umum menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan pada tahun ini manakala 28 lagi mensasarkan Kerusi Fakulti. Beliau turut menyatakan harapan agar USIM dapat mengekalkan peratusan tinggi sekurang-kurangnya 90% dalam pemilihan MPP kali ini.

Mengulas lanjut, menurut beliau, antara cabaran pemilihan MPP secara dalam talian ialah calon hanya berkempen melalui akaun media sosial peribadi mereka di mana hanya pengikut media sosial mereka sahaja yang dapat mengikuti kempen-kempen mereka, ini menjadikan kempen pemilihan MPP kali ini agak suram malah ramai di kalangan pelajar yang kurang peka berkenaan tarikh PMPP kali ini.

Beliau turut menyatakan kelainan yang dibawakan pada pemilihan MPP kali ini ialah calon dibenarkan untuk berkempen secara fizikal dengan penjagaan SOP seperti berkempen di kolej kediaman di samping mewujudkan kumpulan ‘ultras’ dalam whatsapp, telegram dan berkempen melalui akaun media sosial peribadi mereka.

Keputusan rasmi pemilihan MPP USIM telah diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin pada jam 6.30 petang tadi dengan catatan peratusan sebanyak 89.54% bersamaan 10,064 pengundi.

Comments