Pelajar kaunseling cabar diri urus empat bisnes

Oleh Alia Najiha Md Suhaimi & Siti Nur Najiha Bohari

ALEEZA kerap menerima bonus daripada pihak Mary Kay diatas kegigihannya. - Foto Aleeza

KLANG: Aleeza Mohamad, 21, pelajar kaunseling tahun 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) aktif menjadi ejen pesan hantar sejak 2018, kini mencabar dirinya untuk menguruskan empat buah bisnes atas talian sambil belajar.

Aleeza pada awalnya hanya menjadi ejen pesan hantar kepada sebuah jenama tudung iaitu Dhuha Hijab. Namun demikian, minat yang mendalam serta sokongan kuat daripada keluarga membuatkan dia yakin untuk menambah jumlah bisnesnya secara berperingkat. 

Kini, Aleeza gigih menjadi pemesan hantar kepada tiga buah jenama pakaian dan tudung iaitu Bydemifa HQ, Byazzy HQ dan Dhuha Hijab. Malahan, dia turut aktif menjadi perunding kecantikan kepada satu produk kecantikan iaitu Mary Kay.

Menurut Aleeza, dia akan mengutamakan waktu belajar di dalam kelas terlebih dahulu sebelum menyibukkan dirinya dengan bisnes. Dia juga akan menetapkan masa misalnya dua jam untuk mengurus bisnesnya.

“Kalau ada masa terluang, saya akan gunakan untuk membalas Whatsapp pelanggan dan membuat pemasaran. Selepas itu, saya akan meluangkan masa untuk menyiapkan tugasan kuliah," katanya. 

“Saya akan segera menyiapkan tugasan kuliah sebelum tarikh akhir untuk mengelakkan ia bertindih dengan tugasan lain," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Aleeza turut berdepan dengan situasi yang mencabar seperti persaingan dalam perniagaan dan perlu menghadapi pelbagai ragam pelanggan. Tidak dapat dinafikan, dia juga pernah berasa penat dan putus asa dalam perniagaan.

Oleh itu, beliau berharap agar suatu hari nanti bisnesnya akan lebih maju dan berkembang ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau ingin memanfaatkan peluang ini untuk membina karier dan mengasah bakatnya serta membuka peluang untuk bantu lebih ramai orang lagi.


Comments