Pelajar IPTA kongsi rahsia kejayaan lonjakan rekod jualan pada pasca pandemik

Oleh Nabila Huda Mohd Syam & Qurratu Ain Aminuddin

Titan Master AB Chocojar, Muhammad Fathullah(tengah) bersama rakan-rakan ejen AB Chocojar membuka booth AB Chocojar di Aeon, Bandar Nilai. - Foto Muhammad Fathullah Shupian 

NILAI: Berasal dari Kuantan, Pahang, Muhammad Fathullah bin Muhammad Shupian, 21, berkongsi rahsia kejayaannya memperolehi RM7,000 jualan dalam masa kurang daripada setahun pada pasca pendemik, sekaligus berjaya melonjakkan diri dengan mendapat gelaran Titan Master.

Fathullah berpendapat membantu keluarga adalah tanggungjawabnya memandangkan dia merupakan anak sulung daripada lapan beradik, namun matlamat utamanya dalam menceburi bidang perniagaan ini adalah untuk melihat orang sekelilingnya bebas daripada masalah kewangan. Tambahan pula, dia mahu mencapai sasaran memiliki kereta mewah sebelum menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia.

Sasaran utama produk AB Chocojar adalah pelajar sekolah, pelajar universiti, serta golongan dewasa yang menggemari makanan ringan. Pemuda berusia 21 tahun itu menjelaskan, kelebihan serta keunikan produknya itu terletak pada balang yang berkonsep mewah, menggunakan coklat Premium Beryls, mempunyai tiga jenis perisa dan mengandungi dua lapisan perisa dalam setiap balang. 

Sebagai seorang pelajar yang aktif dalam persatuan dan unit beruniform di universiti, faktor masa menjadi cabaran utama buat Fathullah dalam menguruskan perniagaan. Menurutnya, dia perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan. Namun begitu, ianya bukanlah halangan untuk beliau berjaya di dalam bidang perniagaan ini. 

Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, selain dorongan dan sokongan daripada ibu bapa, keinginan beliau untuk membantu orang lain juga menjadi sebab dia melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Tambahan pula, sokongan dari kawan-kawan menjadikan dia lebih bersemangat dalam perniagaan.

Menurut Fathullah, kunci kejayaan bagi sesebuah perniagaan adalah usaha yang berterusan dan tidak mudah berputus asa dalam perniagaan. Tambahan lagi, untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu memberi manfaat kepada orang lain, dan bukannya untuk diri sendiri semata-mata. 

"Fokus pada penyelesaian, bukan masalah" adalah ungkapan yang sering terlintas di fikiran seorang pemuda yang cemerlang dalam bidang perniagaan AB Chocojar ini. Fathullah berpendapat, kehidupan seseorang itu penuh dengan cabaran dan rintangan terutama dalam dunia perniagaan, namun beliau bijak menyelesaikan masalah dengan mencari jalan penyelesaian daripada memikirkan masalah yang dihadapi.

“Jangan letakkan banyak alasan jika ingin berjaya dalam perniagaan, tetapi sentiasa konsisten dan teruskan usaha sehingga mencapai kejayaan,” ujar Fathullah.






 

Comments