NILAI: Majlis Perasmian Penutup Pesta Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia yang ke-19 (CFEST), telah berlangsung dengan meriah dan jayanya pada tarikh 30 November 2021 setelah membuka tirai pada 6 November lepas.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 3, USIM secara bersemuka dengan mengamalkan norma baharu, penjarakan sosial dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Majlis Perasmian Penutup Pesta Konvokesyen ini juga disiarkan secara dalam talian iaitu melalui siaran langsung di Facebook rasmi Pesta Konvo USIM.
Penutupan Perasmian Pesta Konvo USIM (CFEST) kali ke-19 ini dimulakan dan dihiasi dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran daripada qari jemputan iaitu Saudara Muhammad Afnan Muhammad Khir, iaitu merupakan seorang pelajar daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama.
Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan pembukaan daripada YBhg. Prof. Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni.
Beliau berkata, meskipun pesta konvokesyen tahun ini dilakukan dengan sedikit berbeza iaitu secara hibrid sama seperti Pesta Konvokesyen USIM ke-18, siapa sangka kita mampu melaksanakan dua jenis program berimpak tinggi di kala pandemik COVID-19 dalam tahun yang sama.
“Ia merupakan bukti kita berjaya beradaptasi dan terdorong ke arah berfikir di luar daripada kebiasaan, syabas kepada semua,” katanya.
Disusuli ucapan perasmian daripada YBhg. Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, dalam ucapan beliau mengatakan, pesta konvokesyen ini disusun dengan sistematik berdasarkan (nizom) iaitu satu input positif yang telah memberikan pengalaman yang sangat berharga untuk masa depan dan dapat melahirkan graduan USIM yang beradab holistik dan seimbang.
“Harapan saya bahawa program seperti ini dapat diteruskan kerana ia mampu mewujudkan sebuah persekitaran elektual selari dengan keadaan semasa yang semakin mencabar, sebagai dorongan untuk mahasiswa dan mahasiswi beradaptasi dalam keadaan semasa dengan lebih cepat,” jelasnya.
Majlis disempurnakan lagi dengan Gimik Perasmian Penutupan Pesta Konvokesyen USIM kali ke-19 oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, YBhg. Prof. Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani bersama Pengarah Pesta Konvokesyen USIM ke-19 iaitu Saudara Mior Muhammad Khalis Bin Mior Ahmad Zaini.
Sejurus selepas gimik perasmian dilancarkan, video montaj program-program menarik yang telah dijalankan sepanjang Pesta Konvo USIM daripada pihak Stracomm USIM ditayangkan kepada para hadirin.
Acara akhir bagi malam Perasmian Penutupan Pesta Konvokesyen USIM kali ke-19, iaitu Program CFEST Art Perfomance juga diadakan. Para hadirin disajikan dengan persembahan nyanyian yang merdu daripada kumpulan “The Bachelor’s” daripada Pusat Kebudayaan USIM dengan membawa dua buah lagu iaitu “Gemilang” dan “Hanya di Mercu”.
Comments
Post a Comment