Pelajar FPBU dijangkiti COVID-19

Oleh Nordiyana Zaidi dan Nur Ashikin Omar 

Asyirah Homaidi menjalani ujian saringan COVID-19 ‘swab test’ di Dewan Madinah Ramadhan, Kota Bharu. - Foto Asyirah Homaidi

KOKLANAS: Asyirah Homaidi, 21, pelajar Tahun 3, Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama telah dijangkiti wabak COVID-19 pada 23 April 2021 lalu.

"COVID-19 merupakan suatu detik hitam buat saya sekeluarga,” kata Asyirah yang memperoleh jangkitan dari kontak rapat iaitu ibu saudaranya.

Pelajar tahun 3 tersebut tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa di rumah mahupun di luar berikutan jangkitan yang dialaminya ketika beliau sedang mengikuti pembelajaran secara maya pada masa yang sama.

"Perasaan bimbang dan resah menyebabkan saya tidak dapat melakukan aktiviti harian biasa. Tambahan pula, keadaan tubuh badan sangat lemah dan penat untuk melakukan sesuatu kerja", katanya.

Oleh sebab itu, perbincangan tugasan berkumpulan juga agak mencabar untuk dirinya kerana beliau tidak dapat memberi tumpuan sebaiknya.

"Sepanjang dalam tempoh kuarantin, saya tiada masalah keciciran dalam pembelajaran. Ini kerana saya sentiasa bertanyakan maklumat tentang pembelajaran kepada rakan-rakan. Tambahan pula, saya memiliki rakan prihatin yang mengambil berat akan pembelajaran saya", katanya.

Oleh itu, beliau berasa amat bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan yang amat prihatin serta sentiasa menghulurkan bantuan tanpa jemu walaupun beliau dijangkiti dengan wabak maut tersebut.  

Selain itu, Asyirah jua turut berpendapat bahawa amat mudah baginya untuk mengadaptasi keadaan kesihatan dan pembelajarannya kerana beliau masih boleh melihat video rakaman pembelajaran yang lepas apabila beliau tidak dapat menyertai kelas.

Kini, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama itu akui semakin baik dan telahpun menerima 2 suntikan vaksin COVID-19  dan kini menanti panggilan bagi suntikan dos penggalak.



Comments