MyAgrosis USIM bakal lancar produk jenama sendiri

Oleh Nurul Izzati Abd Halim & Nur Hariza Abdul Halim 

Sayur bendi yang telah siap dibungkus untuk dijual kepada komuniti USIM -
Foto Instagram @myagrosisusim

NILAI: Kelab MyAgrosis USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) bakal melancarkan jenama sendiri untuk memasarkan produk dan hasil mereka kemungkinan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan. 

Presiden Kelab MyAgrosis USIM, Muhammad Akmal Syazani Azmani berkata, jenama dan produk mereka dijangka akan dilancarkan pada 25 Disember 2021 atau 1 Januari 2022 namun beliau memilih tarikh 1 Januari 2022 oleh sebab tidak mahu terburu-buru serta mengutamakan konsep yang teratur.  

Mengambil nama ‘Kshoppe Agro Usim’ sebagai jenama bersempena nama unit Kshoppe pada awalnya, kemudian telah ditukar kepada ‘MyAgroSis USIM’ bertujuan meluaskan lagi skop penggunaannya kepada unit lain seperti unit fertigasi dan unit akuakultur.  

Sementara itu, Muhammad Akmal Syazani berkata, dalam kelab MyAgrosis ada satu pasukan elit yang memang dikhususkan untuk mengurus bahagian promosi dan pemasaran diberi nama Unit Kshoppe.  

“Unit Kshoppe ini yang terdiri tidak kurang daripada 15 orang anggota, memainkan peranan penting dalam memastikan misi projek pemasaran dan penjenamaan branding ini berjalan seiring dengan apa yang dirancang,” jelas beliau.  

Beliau juga berharap supaya ahli MyAgrosis yang lain juga turut bersama berusaha menaikkan dan mempromosikan jenama mereka.  

Manakala sasaran pasaran dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu peringkat pertama yang dilabelkan sebagai peringkat percubaan ini mensasarkan warga dan komuniti USIM yang terdiri daripada pegawai atasan, pensyarah, pekerja am, dan mahasiswa.  

Beliau menyambung lagi, sekiranya jenama mereka berpotensi untuk berkembang, maka pasaran jenama dan produk MyAgroSis USIM mungkin akan mensasarkan kepada lebih banyak komuniti kebun yang lain seperti rakan MyAgrosis dari institusi pengajian tinggi lain serta masyarakat luar yang turut menceburi sektor pertanian, baik pertanian domestik mahupun pertanian secara komersial.  



Comments