Suwaibah Mustapha raih Anugerah Pelajaran DiRaja USIM

Oleh Nur Fadlhlin Sakina Abdul Aziz & Shaza Ayuni Sharury

Suwaibah Mustapha menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Majlis Konvokesyen ke-19 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia. - Foto Pusat Komunikasi Strategik

NILAI: Minat membaca dan bercakap sejak kecil, Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Suwaibah Mustapha, telah dianugerahkan dengan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) di Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 24 November 2021.

Suwaibah Mustapha, 23 tahun, merupakan anak ke-7 daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi ketika berumur enam tahun. Seterusnya, memasuki Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ sebelum menyambung persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Islam Hira’.

Beliau terlibat secara aktif dalam dunia pengucapan awam sejak zaman persekolahan lagi. Menurut ibunya, Raidah Mamat, Suwaibah seorang yang cepat membaca dan sering aktif menjawab pertanyaan gurunya ketika di sekolah. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang ramah dan suka bermesra dengan adik-beradiknya.

“Suwaibah seorang yang ‘outspoken’ dan suka bercakap sejak dia masih kecil dan suka bermesra dengan adik-adik dan kanak-kanak,” kata bapanya, Mustapha Muda ketika ditemu ramah.

“Sewaktu di sekolah menengah, Suwaibah banyak mewakili sekolahnya dalam pertandingan syarahan serta debat dan minat itu dia teruskan sehingga ke peringkat universiti,” tambahnya lagi.

Paling membanggakan, beliau pernah mengharumkan nama USIM dan Malaysia apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) di Doha, Qatar pada tahun 2019 bagi kategori bukan penutur jati Bahasa Arab setelah berjaya menewaskan pasukan debat dari University of Utah (Amerika Syarikat), University of Kerala (India), University of New York (Amerika Syarikat), Islamic University of Maldives (Maldives) dan European Institute of Human Science (Jerman) dan banyak lagi. Selain itu, beliau juga tersenarai sebagai pendebat kedua terbaik keseluruhan dan menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari Qatar Debate iaitu penganjur bagi pertandingan tersebut.

Ketika Majlis Pengisytiharan Konvokesyen Ke-19, Suwaibah Mustapha menzahirkan rasa penghargaan beliau kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan semua pensyarah atas dorongan dan tunjuk ajar yang telah diberikan sepanjang pengajian beliau selama empat tahun di USIM.

“Jika ibu bapa dikenang kerana pengorbanan mereka, maka para pendidik pula dikenang kerana bimbingan mereka,” katanya ketika memberi ucapan sebagai wakil graduan di majlis konvokesyen tersebut. Pada akhir ucapannya, beliau memberi kata-kata semangat kepada semua graduan untuk terus menuntut ilmu dan kemahiran selagi hayat dikandung badan.

“Jangan sesekali lelah untuk bercita-cita, jangan sesekali lelah untuk berjaya, bercita-citalah setinggi langit sekalipun kita jatuh, jatuh ke awan, masih lagi tinggi,” ujar Suwaibah Mustapha.

Comments