Mental terjejas sejak PKP

Oleh Najwa Mohd Nazim & Syaakirah Othman

Pelajar sedang mengikuti pembelajaran secara maya di rumah. - Foto Berita Harian

NILAI: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun telah menjejaskan kesihatan mental khususnya mahasiswa dan mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana terlalu lama “terperuk” di dalam bilik bagi menghadiri kelas, membuat perbincangan mengenai kerja kursus, menyiapkan tugasan mingguan, dan membuat pembentangan secara atas talian.

Apabila menyentuh isu kesihatan mental, kita sering dikaitkan dengan individu yang mengalami masalah keluarga, perceraian, kewangan, kematian dan sebagainya. Namun begitu, sejak PKP dikuatkuasakan, tekanan emosi yang dialami lebih memfokuskan tentang keadaan para pelajar dalam sesi pembelajaran secara maya. Perkara ini berkait rapat dengan suasana pembelajaran yang tidak kondusif adalah menjadi salah satu punca para pelajar mengalami tekanan yang berlebihan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Hannan Mohd Haniff, 23, berkata, ramai diantara mahasiswa sudah lesu dengan suasana pembelajaran secara atas talian kerana hampir separuh hari menghabiskan masa dengan komputer riba dan telefon bimbit. 

“Kebanyakan pelajar IPT juga mengalami tekanan yang melampau sehingga mengakibatkan “depression”, “anxiety” dan seumpamanya. Hal ini kerana, kursus yang diambil oleh para pelajar bukanlah teori semata-mata, malahan sebahagiannya juga melibatkan aktiviti praktikal dan makmal. Hal ini memberi gambaran yang jelas bahawa, sukarnya apabila aktiviti yang sepatutnya dijalankan secara bersemuka dilakukan secara atas talian dan sudah tentu ianya akan memberi tekanan kepada kami,” katanya.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal Internationally University of Malaya, Dr Mimi Fitriana Zain, apabila seseorang inginkan fenomena pembelajaran yang positif haruslah bijak dalam mengehadkan penggunaan komputer. Jelas beliau juga, jika seseorang selalu terdedah dengan skrin komputer, maka ia boleh merosakkan keadaan mata secara fizikal dan tanpa disedari menganggu emosi seseorang.

Oleh itu, golongan berpendidikan seperti mahasiswa haruslah bijak dalam membahagikan masa sebaiknya dan mengenalpasti tahap kesihatan yang dihadapi.




Comments