‘USIM Berselawat 1443H’ semarakkan sambutan Maulidur Rasul

 Oleh Ain Nabilah Abdul Mutalib & Mariatul Iffah Noor Sabri

Program diakhiri dengan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. - Foto live Facebook Pusat Islam USIM

NILAI: Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program USIM Berselawat 1443H bagi menyemarakkan lagi rasa cinta serta kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersempena kelahirannya.

Program ini menampilkan beberapa orang tetamu kehormat antaranya ialah Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USIM, seterusnya Dr. Asharaf Mohd Ramli selaku pengarah Pusat Islam USIM, turut serta Habib Nael Tahir dan dua orang qari.

Program dimulakan dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh qari Umar Syazuli yang merupakan Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), diselangi dengan persembahan qasidah, seterusnya diikuti oleh bacaan tilawah Al-Quran oleh qari Ammar Mukhlis, Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Timbalan Naib Canselor HEPA USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani mewakili warga USIM menyeru supaya mahasiswa USIM sentiasa mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek kehidupan.

‘’Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi mereka yang akan mengamalkan amalan mulia dan sunnah yang telah diberi serta dipandu oleh Nabi Muhammad SAW’’, ujar beliau dalam program tersebut.

Habib Nael Tahir pula dalam ucapan penggulungannya mengingatkan mahasiswa agar berusaha mengenal Rasulullah di bulan yang mulia ini.

"Kita ambil kesempatan di dalam bulan mulia ini untuk menjadikan ianya peluang yang diberikan Allah kepada kita untuk kita berusaha mengenal Rasulullah," ujar beliau sebelum mengakhiri ucapannya dengan bacaan doa.

Meskipun berada dalam keadaan pandemik Covid-19, namun ia tidak mematahkan semangat warga USIM untuk menyertai program maya anjuran Pusat Islam USIM bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H pada tahun 2021 ini.




Comments