KUALA SELANGOR: Masalah capaian internet antara perkara yang sering dibangkitkan pelajar dikhuatiri ‘membunuh’ semangat pelajar bagi mengikuti pembelajaran atas talian khususnya kawasan luar bandar.
Bercakap kepada USIM Today, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Fauzan Rahman berkata, pelajar sering membangkitkan masalah tersebut di platform media sosial dan masalah tersebut telah dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun, masalah terbabit masih belum selesai. Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, masalah capaian internet yang lemah memberi impak kepada proses pembelajaran kerana talian internet merupakan perkara utama bagi pembelajaran atas talian.
“Setiap pagi saya terpaksa keluar ke pekan bagi mendapatkan capaian internet yang baik untuk mengikuti kelas atas talian saya,” katanya.
Jelasnya, kawasan luar bandar masih lagi menghadapi capaian internet yang lemah berbanding kawasan-kawasan bandar sehinggakan beliau terpaksa pergi ke bandar setiap kali sesi pembelajaran berlangsung. Muhammad Fauzan juga berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan isu tersebut supaya kawasan yang didudukinya mendapat capaian internet yang baik.
Sementara itu, seorang guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Norhazida Jusoh berkata, masalah capaian internet melemahkan semangat pelajar dan menyebabkan pelajar sudah mula malas untuk belajar. Jelasnya lagi, hal ini menyebabkan pelajarnya semakin berkurang dari hari ke hari.
“Pelajar di luar bandar bergelut dengan masalah capaian internet apatah lagi ingin mengakses internet atau bahan pembelajaran yang diberikan sehinggakan pelajar saya semakin berkurang setiap hari. Saya berharap masalah capaian internet di kawasan luar bandar ini diselesaikan dengan kadar segera memandangkan internet menjadi keperluan pada era pandemik ini,” katanya.
Norhazida juga berpendapat supaya ditambahkan lagi kapasiti dan menaiktaraf Pusat Internet Komuniti (PIK) supaya para pelajar yang terkesan boleh memanfaatkan kemudahan yang ada di samping berharap supaya pihak yang bertanggungjawab sentiasa memantau masalah capaian internet yang dihadapi oleh pelajar.
Comments
Post a Comment