Pengambilan makanan tidak seimbang dikatakan antara punca kepada obesiti. - Foto Google
KUALA LUMPUR: Sejak kebelakangan ini, masyarakat Malaysia merungut mengenai kenaikan berat badan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang sebenarnya perkara ini tidaklah mengejutkan memandangkan mereka berada di rumah dan kurang aktif secara fizikal.
Malah terdapat segelintir dari kalangan pengguna media sosial lebih memilih untuk tidak berkongsi gambar semasa mereka di akaun media sosial mereka untuk mengelak daripada menerima kritikan daripada rakan-rakan mereka. Isu obesiti bukanlah perkara baru di Malaysia mahupun di dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), obesiti telah menjadi kebimbangan kesihatan awam global sejak 1975.
Obesiti didefinisikan sebagai pengumpulan lemak tidak normal atau berlebihan yang memberikan risiko kepada kesihatan. Kebimbangan ini boleh difahami kerana obesiti bukan sahaja meningkatkan risiko dijangkiti pelbagai penyakit kronik malah kajian mendapati bahawa pesakit obesiti lebih mudah diserang jangkitan pandemik COVID-19 sepertimana penyakit-penyakit kronik yang lain.
Perkara ini turut membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia apabila sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Kajian Populasi Dunia 2019 yang mendapati bahawa Malaysia mempunyai kadar kekerapan obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus, diikuti Brunei (14.1 peratus), Thailand (10.0 peratus) dan Indonesia (6.9 peratus).
Terdapat juga laporan yang dicatatkan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menyatakan bahawa kira-kira 50.1 peratus orang dewasa di Malaysia sama ada mempunyai berat badan berlebihan mahupun obes. Sebanyak 30.4 peratus adalah dewasa yang mempunyai berat badan manakala 19.7 peratus pula dikategorikan sebagai obes. Sebagai perbandingan, kadar berat badan berlebihan dan obes Malaysia dicatatkan pada tahun 2011 masing-masing hanyalah pada 29.4 peratus dan 15.1 peratus.
Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Norliza Ahmad berkata terdapat faktor-faktor yang menyumbang kepada obesiti dan perkara tersebut boleh diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu makanan, aktiviti fizikal, persekitaran dan genetik. Terdapat juga faktor penyumbang lain termasuklah faktor penyakit, tekanan dan ubat-ubatan.
“Dua faktor utama ialah makanan dan aktiviti fizikal. Secara asasnya, jika pengambilan makanan tidak disertai dengan pengeluaran tenaga melalui aktiviti fizikal, tenaga yang berlebihan itu akan disimpan sebagai lemak dalam badan,” jelasnya.
Seharusnya rakyat Malaysia mengamalkan diet pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat agar kehidupan menjadi lebih baik dan sejahtera sekaligus mengelak daripada berlakunya sebarang penyakit berbahaya terutama jangkitan pandemik COVID-19.
Comments
Post a Comment