Oleh Muhammad Afiq Iman Hasrul & Muhammad Faris Sihabuddin
NILAI: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi 2021/2022 akan dijalankan pada 9 Disember 2021 dengan melibatkan semua pelajar USIM mengundi bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Sejajar usaha mengadaptasi norma baharu selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga universiti, buat kali keduanya USIM melaksanakan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar melalui platform atas talian (online) secara sepenuhnya.
Menurut Syukri Rostam yang merupakan salah seorang calon dalam pemilihan MPP, antara persediaan sebelum mengundi adalah merangka beberapa program-program berimpak tinggi terhadap mahasiswa USIM dari segi jasmani, emosi dan rohani. Beliau juga berkata, untuk berkomunikasi bersama pimpinan universiti-universiti yang lain dan juga menjadikan MPP sebagai satu wadah untuk sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan inovasi terhadap mahasiswa dan mahasiswi USIM.
Menurut beliau, proses pemilihan itu dimulakan dengan penamaan calon pada 15 November lalu diikuti kempen secara maya oleh calon sebelum acara kemuncak iaitu pembuangan undi yang akan dibuat pada (Khamis, 9 Disember).
Bagi memastikan semua proses berjalan lancar, sistem undian atas talian (e-undi) serta platform kempen secara maya diwujudkan di mana kedua-duanya boleh dicapai di laman sesawang khas pilihmpp.usim.edu.my. Sistem ini dibangunkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Jawatankuasa Khas Pemilihan MPP dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM.
Seramai 10,429 orang pelajar USIM layak mengundi pada Khamis ini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang dengan universiti meletakkan sasaran 90 peratus akan melaksanakan tanggungjawab mereka, dengan majoriti pelajar kini masih terlibat dalam pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di kampung halaman masing-masing.
Keputusan rasmi pemilihan MPP USIM dijangka akan diketahui selewatnya jam 6.30 petang Khamis yang akan diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin di Dewan Kuliah Pelajar (DKP), USIM.
Comments
Post a Comment