Mahrajan Arabiyah anjuran USIM meraih sambutan luar biasa

Oleh Nurul Iffah Amalia Mohd Suhaimi & Nurul Farahani Najihah Abdullah

Antara salah satu poster pertandingan yang terdapat dalam Program Mahrajan Arabiyah. - Foto Nadi Thaqafah

NILAI: Program Mahrajan Arabiyah yang dianjurkan oleh persatuan Nadi Thaqafah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama satu bulan sempena menyambut hari Bahasa Arab Sedunia meraih sambutan luar dugaan dari pelajar dalam dan luar negara.

Pengarah program Mahrajan Arabiyah, Nik Muhammad Aizat Bin Nik Ramani berkata, seramai 157 orang peserta dari 4 buah universiti yang terlibat dalam kerjasama bagi program Mahrajan Arabiyah telah menyertai pertandingan yang telah dianjurkan.

Empat buah universiti yang telah bekerjasama dengan USIM termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaaan Malaysia dan juga universiti dari negara jiran, Indonesia iaitu Universiti Muhammadiyah Yogyakarta.

“Dalam laporan kertas kerja yang dibentangkan, jumlah sasaran awal bagi penyertaan pertandingan hanyalah 120 penyertaan sahaja. Namun jumlah penyertaan melonjak naik secara drastik apabila semakin menghampiri tarikh tutup penyertaan yang bermula dari 1 Oktober hingga 5 Disember sehingga pada kemuncak acara iaitu pada 18 Disember ini,’’  katanya.

Timbalan Pengarah Program Mahrajan Arabiyah, Nur Wafa Binti Noor Hashim berkata, program ini sebenarnya membuka peluang kepada semua pelajar universiti tidak kira daripada luar mahupun dalam negera yang ingin menyertai program ini bagi menyerlahkan lagi bakat mereka yang sudah sedia ada.

“Di samping itu, mana-mana peserta dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengambil subjek bahasa arab komunikasi dan kebudayaan diberi pilihan sama ada untuk menyertai pertandingan yang ada di dalam program ini atau membuat tugasan individu yang telah dimaklumkan oleh pensyarah subjek itu,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat enam jenis pertandingan yang dipertandingkan tetapi hanya dua daripadanya yang mendapat sambutan baik iaitu Peraduan Video Kreatif Masakan dan Peraduan Buat Poster “Hari Bahasa Dunia Arab”.

Peserta dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Nabihah Binti Azlan berkata, dia yang juga salah seorang daripada peserta Program Mahrajan Arabiyah telah menyertai Peraduan Video Kreatif Masakan. Menurutnya, dengan adanya program seperti ini dia lebih berinspirasi untuk meningkatkan tahap keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai selepas ini.

“Dalam video tersebut, saya juga turut berkongsi menu masakan serta cara untuk memasak menu tersebut dengan menghasilkan dan mengedit video yang kreatif agar dapat menarik perhatian juri dalam memberikan markah yang lebih. 

“Walaupun tidak dapat memenangi pertandingan yang telah disertai, pengalaman serta ilmu yang diperolehi tiada nilainya,” katanya.


Comments