Kerajaan Pahang komited majukan industri minyak sawit

Oleh Nur Fatin Izzati Mohd Noor & Siti Zulfah Hanis Zulkifli

Menteri Besar Pahang, Dato Seri Rosdy Wan Ismail. - Foto Muhd Asyraf Syawal

KUANTAN: Sebagai salah sebuah negeri yang terkenal dengan pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini, kerajaan negeri terus komited untuk memajukan industri sawit walaupun ada segelintir pihak memperlekehkan industri ini dan pengusahanya.

Terdapat hampir 58,000 daripada 1.548 juta penduduk di negeri pahang terlibat aktif dalam sektor pertanian ini. Kira-kira 818,986 hektar tanaman kelapa sawit yang terdapat di Pahang yang mana 25 peratus daripadanya ditanam di dalam tanah rancangan felda.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, “kira-kira 615,986 hektar lagi ditanam di estet milik swasta dan dalam ladang milik agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Yayasan Pahang yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri”.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa betapa besarnya kepentingan industri sawit kepada mereka yang terlibat terutamanya pengusaha atau pemilik ladang estet dan juga pekebun kecil iaitu dalam kalangan peneroka tanah rancangan FELDA. Menjadi kewajipan kita semua untuk mempertahankan kepentingan ini dengan mengambil daya usaha semaksimum mungkin untuk menentang apa juga bentuk memperlekehkan kelapa sawit serta pengusahanya.

“Industri sawit kini menghadapi banyak cabaran yang berterusan dan sistematik, sama ada dari dalam negara mahupun luar negara serta di peringkat antarabangsa sekalipun,” katanya semasa berucap merasmikan kempen Healthy Sawit Love My Palm Oil Campaign (LMPOC).

Wan Rosdy berkata, langkah dan usaha yang efektif sangat penting dalam menangani dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi industri sawit pada masa kini dan masa akan datang. Katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif demi menangani dan mengatasi cabaran-cabaran ini.

“Saya difahamkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengambil pelbagai inisiatif dan pendekatan demi mengatasi cabaran-cabaran ini antaranya menjalankan program untuk membantu penggiat dan pengusaha sawit dengan menganjurkan kempen larangan berurus niaga Buah Tandan Sawit (BTS) mentah. Di samping itu, pengilang juga digalakkan untuk memulangkan semula ‘consignment’ Buah Tandan Sawit (BTS) mentah kepada pembekal,” katanya lagi.

Beliau memberitahu kempen ini adalah salah satu usaha untuk memberi kesedaran kepada penggiat sawit dan orang ramai mengenai kepentingan mematuhi syor yang telah ditetapkan di bawah Malaysian Sustainable Palm Oil Standards. Katanya, ini adalah untuk menjamin mutu minyak sawit di pasaran tempatan dan global sentiasa tinggi serta selamat sehingga terus memikat hati pengguna dari dalam negara mahupun luar negara.



Comments