Keluarga tunjang kejayaan penerima Anugerah Pingat Diraja

Oleh Aisyah ‘Aliah Musa & Noor Fatinah Fauzi

Suwaibah binti Mustapha, penerima Anugerah Pingat Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) di Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM. - Foto Pusat Komunikasi Strategik USIM

NILAI: Keluarga tunjang utama kejayaan bagi graduan dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Suwaibah binti Mustapha, 24, yang telah dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) di Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 23 November 2021 yang lalu.

Kejayaan yang diraih dapat menyakinkan mahasiswa-mahasiswa USIM yang masih melanjutkan pengajian untuk terus melakar kejayaan di bumi USIM. Keseimbangan akademik dan kokurikulum menjadi tampuk utama dalam memperoleh Anugerah Pingat Diraja.

“Keluarga saya memberi sokongan penuh malah menggalakkan saya untuk terus menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, mereka tidak pernah mempertikaikan setiap aktiviti yang saya ceburi, malah mereka mendoakan akan kejayaan saya,’’ katanya dalam wawancara temu bual secara maya. Keluarga Suwaibah mendukung setiap langkahnya seiring dengan cita-cita yang dipamerkan oleh Suwaibah.

Kata Suwaibah lagi, kejayaan yang dimiliki bukan sahaja hasil usahanya semata-mata bahkan hasil keberkatan doa dan sokongan daripada keluarganya yang merupakan tunjang kejayaannya. Tambahan pula, mendekatkan diri kepada Allah serta menjaga keharmonian dengan orang sekelilingnya juga antara amalan yang diterapkannya.

“Tiada salah untuk berangan-angan atau bermimpi meskipun di luar jangkaan, akan tetapi berusaha ke arah apa yang diangan-angankan itu, juga memohon doa dan petunjuk kepada Allah agar dipermudahkan segalanya,” sambungnya lagi. “Bercita-citalah setingg-tinggi langit, sekalipun jatuh, jatuh ke awan, masih lagi tinggi” itulah mutiara kata yang sering menjadi pedoman dan penguat buatnya.

“Nasihat saya kepada penuntut-penuntut ilmu di luar sana, jangan pernah berasa menyesal dalam menuntut ilmu, pohon doa kepada Allah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong dan minta sokongan, doa dan restu daripada ibu bapa kerana doa dan redha ibu bapa membawa kebaikan kepada anaknya serta tidak lupa dalam menjaga hubungan sesama manusia, apabila menjaga hubungan sesama manusia, urusan kita akan dipermudahkan,” ujarnya lagi.

Pengiktirafan yang diperoleh oleh Suwaibah binti Mustapha dapat dijadikan contoh dan teladan yang terbaik kepada mahasiswa yang sedang berjuang dalam menuntut ilmu bahkan pengiktirafan ini juga dapat menjadi kebanggaan ibu bapa dan tidak dinafikan bahawa setiap ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Comments