Oleh Hazirah Matsom & Nur Syairah Wahis |
Pergerakan pelajar USIM sebelum dibenarkan masuk ke dalam bas yang disediakan. - Foto Instagram @usimofficial |
NILAI: Keluarga rasa sebak dan bersyukur dapat menyambut ketibaan anaknya yang merupakan pelajar USIM di terminal bas yang ditetapkan sebelum diumumkan penutupan rentas daerah dan negeri oleh Perdana Menteri pada 12 Mei 2021.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berpakat untuk membenarkan pelajar institusi Pendidikan Tinggi pulang ke rumah masing- masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri secara beransur-ansur mulai 7 sehingga 12 Mei 2021 bagi mengelakkan keadaan yang tidak terkawal.
Seramai 1979 pelajar USIM terlibat dalam pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki kenderaan yang diselaraskan oleh pihak USIM yang dijalankan selama 4 hari bermula 8 Mei 2021 sehingga 12 Mei 2021. Pergerakan dimulai dengan pergerakan ke negeri Kelantan dan Terengganu dan diakhiri dengan pergerakan ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Samihah Najah binti Ab Aziz, 21 tahun, merupakan siswazah USIM dalam Fakulti Pengajian Quran & Sunnah turut menyertai pergerakan tersebut. “Alhamdulilah pergerakan dari mendaftar sehingga sampai ke Terminal Bas Tanah Merah dimana saya diturunkan berjalan dengan lancar dan mengikuti prosedur operasi standard yangditetapkan,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau sangat bersyukur dapat berjumpa dengan keluarga tercinta setelah beberapa bulan tidak bersua dan dapat beraya bersama mereka di hari yang bermakna.
Hati ibu dan ayah mana yang tidak resah dan gelisah membiarkan anaknya beraya di kolej kediaman tanpa keluarga di sisi susulan penularan COVID-19 yang agak tinggi.
“Fikiran kami tidak putus-putus risau memikirkan keadaan anak tersayang jika dia terkandas di kolej kediaman semasa musim perayaan yang mana sangat memerlukan keluarga di sisi. Tapi hati kami mula merasakan kelegaan dan kegembiraan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelajar institusi pengajian tinggi boleh pulang ke halaman masing-masing sempena cuti hari raya,” kata ayah Samihah Najah, Ab Aziz Bin Omar.
Comments
Post a Comment