Kejayaan graduan autisme

Oleh Nurulain Nazri & Raeishah Kamaruzaman

Ahmad Zahiruddin di sisi ibu bapanya ketika di Majlis Konvokesyen ke-19 USIM, Nilai. - Foto Instagram @usimofficial

NILAI: Ahmad Zahiruddin Zailani, graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menamatkan pengajian beliau walaupun dirinya mengalami masalah autisme. 


Anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu merupakan siswazah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan Kepujian pada 26 November yang lalu. Bukan itu sahaja, sebelum ini beliau juga merupakan graduan penghafaz Al-Quran peringkat diploma di Pusat Tahfiz Darul Quran, Selangor. 


Disebalik kejayaan beliau, keluarga merupakan tunjang utama yang sentiasa menyokong dan memberi semangat demi mencapai cita-cita. Menurut bapa beliau Zailani Ahmad, komunikasi adalah kunci utama dalam membentuk personaliti yang berjaya agar dirinya tidak terkurung dalam dunia ciptaan sendiri.


Pencapaian Zahiruddin terserlah ketika tersenarai diantara lima pelajar terbaik di sekolah rendah sebelum melanjutkan pelajaran sebagai penghafaz Al-Quran selama tiga tahun di Pusat Tahfiz, Selangor. Atas nasihat ibu bapa serta minatnya terhadap multimedia, beliau berjaya melanjutkan pelajaran di USIM sekaligus membuktikan bahawa anak autisme juga mampu berjaya. 


Berkenaan ranjau duri yang terpaksa dihadapi sepanjang membesarkan anak autisme, Zailani Ahmad berkata, mereka hanya perlu memastikan persekitaran Zahiruddin dalam keadaan baik dan positif. Dari aspek lain pula masih boleh dikawal memandangkan anak mereka seorang pelajar genius. 


“Nasihat saya buat ibu bapa yang mempunyai anak autisme ini, mereka perlulah fokus kepada kekuatan yang ada dalam diri anak mereka, jangan malu untuk memberi mereka kebebasan seperti anak-anak yang normal di luar sana selagi perkara yang mereka lakukan itu baik dan sebagai ibu bapa kita perlulah sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka."


“Saya berharap Zahiruddin sentiasa berjaya dalam pelajaran sekaligus dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya dan dia dapat menjadi ikon sebagai anak autisme yang berjaya kepada ibu bapa di luar sana."


Comments