Kehilangan ibu tak patahkan semangat pelatih Kor Suksis

Oleh Siti Noraishah Azahar & Nor Fauzana Mohd Rauf

Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Perlantikan Pegawai Kor Suksis USIM. - Foto Amanina

NILAI: Seorang pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kehilangan ibu tidak mematahkan semangatnya sehingga ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Suksis semasa Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis USIM yang berlangsung pada 16 Disember 2021.

Nuur Amanina Hanani, 22, telah menyertai Kor Suksis seawal menjadi pelajar universiti kerana mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti lasak dan menurutnya juga, beliau menyertai badan beruniform ini adalah salah satu permintaan daripada arwah ibunya.

Nuur Amanina, anak ketiga daripada lima orang adik-beradik dan beliau merupakan satu-satunya anak perempuan yang paling rapat dengan ibunya.

Katanya, beliau sukar berjauhan dengan ibunya ketika terlantar di hospital dan perlu berulang-alik dari kolej kediaman ke hospital. Padanya, ini satu cabaran yang perlu beliau hadapi ketika musim pandemik ini. 

Ibunya, Mazwin Mohamed, 55, meninggal kerana menghidap kanser hati tahap 4. Peristiwa ini membuatkan Nuur Amanina bertekad untuk meneruskan perjuangannya menjadi seorang anak yang berjaya kerana arwah ibunya tidak henti memberi galakan supaya beliau terus cemerlang dalam pelajaran.

Beliau juga berkata, walaupun sekecil-kecil kemenangan pun ibunya tetap bangga dengan pencapaian yang diperolehi. Ibu Nuur Amanina pernah memberi sokongan kepadanya sewaktu mendapat jurusan yang tidak diingininya.

Katanya, beliau bersyukur kerana majlis pentauliahan ini dapat dijalankan pada musim pandemik ini serta berasa gembira dapat menunaikan hajat arwah ibunya untuk memakai baju istiadat polis yang berwarna putih. "Jika diberi peluang untuk menyertai PDRM, saya tidak akan menolak," ujarnya lagi.

Nuur Amanina bersyukur jika beliau diberikan pekerjaan yang memfokuskan minatnya terhadap Suksis. 

Comments