Oleh Nur Ashikin Adnan & Noor Syafiah Amrah
Aisyah Hijanah bersama anak dan suaminya di kediaman mereka. - Foto Instagram @aisyahhijanah |
KUALA LUMPUR: Aisyah Hijanah, 23, merupakan seorang graduan pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikenali ramai apabila kegigihan beliau sebagai seorang pelajar yang bergelar ibu dan isteri dapat dilihat ketika beliau berjaya membahagikan masa bersama keluarga serta pembelajarannya.
Baru-baru ini, Aisyah telah berjaya menamatkan zaman universitinya selama 3 tahun dalam jurusan psikologi. Beliau menyatakan tidak mudah baginya untuk membahagikan masa dalam pembelajaran, perniagaan serta keluarga dalam satu masa. Beliau juga berkongsi mengenainya melalui satu video di akaun media sosialnya iaitu tentang pengalamannya ketika bergelar seorang pelajar. Setelah berhempas pulas, akhirnya Aisyah berjaya memperoleh kejayaan yang diimpikan.
Selain tanggungjawab sebagai seorang pelajar, Aisyah juga memegang tanggungjawab sebagai isteri dan ibu pada usia yang muda. Umumnya, bukan mudah untuk seseorang pelajar menggalas dua tanggungjawab sekali gus. Namun, tidak bagi Aisyah, beliau sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan juga ibu. Semasa dalam keadaan berpantang, Aisyah berjaya menyelesaikan tugasan pembelajarannya dalam waktu yang ditetapkan.
Walaupun masih di usia muda, pembawaan dirinya yang matang membuatkan ramai yang tidak menyangka usia sebenarnya. Aisyah banyak berkongsi pengalaman berkaitan dengan diri serta keluarganya. Melalui pengalaman yang beliau kongsikan, beliau mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab besar dalam usia yang muda. “Sebenarnya sangat susah untuk seimbangkan segalanya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya akan selalu mengekspresikan perasaan di hadapan cermin. Apabila saya penat, saya akan cakap pada diri, ‘Aisyah, kau yang pilih jalan ini jadi you have to be strong in anything that you choose’,” ujarnya menerusi video di akaun instagram miliknya.
Menerusi posting beliau di laman instagramnya, Aisyah berkongsi kepada pengikutnya tentang bagaimana untuk menguruskan masa. Antara tips yang dikongsikan oleh Aisyah sendiri ialah mesti ada target, jangan bertangguh dan jaga urusan sendiri serta sentiasa ingat kepada Allah.
Dalam kehidupan, persekitaran sangat mempengaruhi kita. Kadang-kadang ia memberi kesan yang baik namun ada juga kesan yang buruk. Ia bergantung kepada seseorang individu. Oleh itu, ”Untuk memulakan sesuatu perkara yang baru, kita mesti tahu tahap kemampuan kita. Kalau tak mampu, ikut kemampuan kita sahaja. Hidup kita bukan untuk berkejar siapa paling berjaya siapa paling kaya. Buat sesuatu ikut kemampuan dan keperluan kita dahulu,” tulis beliau di ruangan posting Instagram.
Kegigihan pemilik nama Aisyah Hijanah ini dalam pembelajaran dan rumah tangga sangat sesuai dijadikan contoh kepada semua wanita yang bergelar ibu. Sesiapa yang melihatnya pasti akan terinspirasi dengan kegigihan dan perwatakannya.
Comments
Post a Comment