Jual baju di asrama, pelajar raih RM19,000 dalam tempoh lima hari

 Oleh Nurul Rasyiqah Ruslan &  Nur Anis Najwa Ruslan

Dua pelajar berkongsi pengalaman sewaktu membuka tempahan baju di asrama. - Foto Mstar

PULAU PINANG: Dua pelajar iaitu Aiman (kiri) Amzar (kanan) yang sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kepala Batas, Pulau pinang telah menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan di asrama semasa tempoh PKP lepas sehingga meraih RM19,000 dalam masa lima hari hanya dengan mempromosikan di dalam bilik sembang aplikasi ‘WhatsApp’, laman ‘Facebook’ dan dari pintu ke pintu kolej kediaman mereka. 

Dua sahabat ini baru sahaja berkenalan sejak semester yang lalu dalam jurusan perakaunan. Akan tetapi, kedua-duanya mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan juga. Mereka berdua juga pernah berkecimpung dalam bisnes kecil-kecilan. Amzar pernah terlibat dalam perusahaan minuman yogurt, manakala Aiman pula dalam perusahaan kek.

Latar belakang mereka ini sedikit sebanyak dapat menjadikan mereka berdua lebih semangat dalam bidang perniagaan. Walaupun masih bergelar pelajar, ini tidak membantutkan semangat dan usaha mereka dalam bidang ini.

Sepanjang tempoh lima hari tersebut, mereka hanya mempromosikan jualan baju mereka di dalam aplikasi ‘WhatsApp’ dan ‘Facebook’ sahaja serta mereka juga lebih aktif menjual dari pintu ke pintu. Mereka tidak berasa malu walaupun ada sesetengah daripada mereka menertawakan dan memandang rendah dengan tindakan mereka itu. 

Walaubagaimanapun, dua sahabat ini tidak berputus asa dan menjadikan itu sebagai satu semangat mereka untuk terus berniaga. Mereka tidak menyangka dengan semangat berniaga mereka itu akhirnya membuahkan hasil. Keseluruhan jualan yang mereka perolehi adalah sebanyak RM19,000. 

Walaupun disaat ramai pelajar berseronok ketika cuti semester yang lalu, mereka memanfaatkan cuti mereka dengan berniaga di sekitar kolej untuk menambah pendapatan sebagai seorang pelajar. 

“Kami membuat keputusan untuk memulakan bisnes ini kerana pelajar lebih sukakan baju lebih-lebih lagi baju yang mengikut trend terkini dan memakai secara berkumpulan. Oleh sebab itu, kami memulakan perniagaan ini agar dapat memudahkan mereka untuk membuat tempahan baju,” kata Amzar.

Kejayaan seseorang bukanlah hanya perlu kesungguhannya sahaja tetapi dia juga perlu disuntik dengan kata-kata semangat dan sokongan moral daripada orang sekeliling bagi mendorongnya maju ke hadapan dan berjaya kelak.


Comments