Ikon FPBU: Lakar nama kejayaan

Oleh Iffah Nadzirah Rahamad & Nur Ammarah Mohd Endang

Suwaibah dan ibubapanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen USIM kali ke-19. - Foto Usim Official

NILAI: Dalam Majlis Konvokesyen kali ke-19 yang lalu, Suwaibah Mustapha, graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU)  telah dinobatkan sebagai pelajar Anugerah Pingat Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), USIM yang menjadi ikon utama dalam FPBU sekaligus telah melakar kejayaannya di persada antarabangsa.

Suwaibah bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malahan beliau juga pernah merangkul pingat johan di International Universities Arabic Debating Championship di Doha, Qatar pada tahun 2019. Pertandingan Debat Bahasa Arab yang disertai oleh beliau dan rakannya telah menerima penyertaan lebih dari 100 buah universiti dari 52 buah negara termasuk Arab, Eropah, Amerika Utara, Afrika, Asia Barat dan Asia Timur.  

Meskipun beliau pernah akui bahawa dirinya tidak terlalu cemerlang dalam penguasaan bahasa Arab, beliau tidak pernah putus asa dan sering memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Baginya, perasaan takut untuk mencuba harus diketepikan dan perlu fokus untuk memperbaiki kelemahan sehingga memperoleh kejayaan.

“Pesanan saya kepada adik-adik di luar sana, jangan pernah rasa menyesal untuk belajar bahasa Arab, bayangkan betapa indahnya jika kita dapat menghayati bacaan Al-Quran, bacaan dalam solat dan juga doa dengan menguasai Bahasa Arab ini. Percaya dengan diri sendiri, kerana bukan semua orang berkebolehan untuk bercakap dalam berbahasa Arab,” katanya dalam ucapan beliau semasa Majlis Konvokesyen kali ke-19 USIM.

Selain itu, Suwaibah yang merupakan anak ketujuh dari sembilan adik beradik juga sering menekankan tanpa doa, sokongan dan dorongan dari kedua ibu bapanya sejak kecil lagi mana mungkin beliau dapat berdiri dengan jayanya sehingga ke hari ini dan telah menempah nama di kejohanan antarabangsa. 

“Sentiasa ingat tidak boleh bangga, riak, takabbur, ujub atau ada sifat sifat yang mazmumah dalam setiap kelebihan dan pencapaian yang kita ada,” kata Tuan Haji Mustapha yang merupakan ayah Suwaibah dalam sesi temuduga pada Majlis Konvokesyen kali ke-19 yang lalu. Dari sudut pandang ibunya pula iaitu Puan Raidah Binti Mamat menasihatkan agar sentiasa tabah dan kuat semangat serta sentiasa menambah ilmu. 

Akhir kalam, beliau berkata agar sentiasa berpaksikan Al Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian dalam apa jua pekerjaan atau perbuatan yang dilakukan kerana segala kejayaan dan nikmat ini tidaklah hadir melainkan dengan kekuasaan Allah Taala serta sentiasa membantu orang lain agar kita juga dapat kebaikkan atau dipermudahkan urusan dari orang lain.


Comments