Food Rider bantu pelajar jana pendapatan pada musim pandemik

 Oleh Siti Nur Alina Zamzuri & Nurul Husna Maharudin

Muhamad Alif Haziq, 23 tahun, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia bekerja sebagai pekerja penghantaran di Food Panda. - Foto Muhamad Alif Haziq

NILAI- Muhamad Alif Haziq, 23, merupakan salah seorang mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bekerja dengan Food Panda pada musim pandemik.

Melalui temubual bersamanya, beliau memberitahu dirinya bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di Food Panda semenjak musim pandemik lagi.

“Saya bekerja sebagai penghantar makanan untuk meringankan beban keluarga dan ketika berada di semester lima, saya tidak lagi meminta duit belanja daripada keluarga. Sumber pendapatan sebagai penghantar makanan saya gunakan untuk membayar bil telefon dan juga perbelanjaan harian. Tugas menghantar makanan ini tidak mudah seperti yang disangka, tapi saya memilih untuk melakukannya kerana kami mendapat bayaran yang lumayan dan waktu kerjanya juga fleksibel,” katanya.

Beliau juga turut berkongsi mengenai bayaran yang diterimanya untuk sehari boleh mencecah RM500. Walaubagaimanapun ia bergantung kepada jumlah pesanan yang diterima pada hari tersebut. 

Namun begitu, beliau tidak menafikan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi sepanjang bergelar penghantar makanan, Foodpanda. “Bekerja sebagai penghantar makanan ini, tidak boleh lari daripada masalah, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelanggan yang bersikap sambil lewa, ada yang pesan makanan tapi bila dah sampai, panggilan tidak berjawab dan ada juga yang marah apabila pesanan lambat sampai,” ujarnya.

“Cuaca yang tidak menentu juga merupakan cabaran kami sebagai penghantar makanan. Menunggang motosikal dalam hujan memberi risiko kepada kami. Selain itu, tidak boleh menunggang motor terlampau laju, kami juga perlu memastikan pesanan pelanggan sampai dalam keadaan selamat,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai status dirinya sebagai pelajar yang bekerja secara sambilan, beliau menganggap ia tidak mengganggu jadual pembelajarannya. “Saya akan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu. Saya juga akan membahagikan masa dengan sebaiknya. Kerja sambilan ini hanya akan dibuat apabila ada masa terluang ataupun pada hujung minggu. Alhamdulillah, sepanjang saya bekerja sebagai penghantar makanan ini, gred ‘pointer’ saya tidak pernah jatuh dan saya masih mampu mendapatkan keputusan yang baik pada setiap semester,” ulasnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Muhamad Alif Haziq juga turut memberi sedikit nasihat kepada pelajar-pelajar yang bekerja sambilan agar tidak leka sehingga mengabaikan pelajaran. Pelajaran perlu diutamakan, jadi kita mesti bijak bahagikan masa dengan betul. Tambahnya pula, ilmu pengetahuan seseorang juga akan menyebabkan tahap pemikiran seseorang itu berbeza.




Comments