KUALA LUMPUR: Saiful Anwar, 27, lebih dikenali sebagai Epul, telah berjaya menambat hati hampir kesemua juri dalam program hiburan televisyen All Together Now Malaysia (ATNM) pada minggu ke-2 musim yang pertama.
Pada episod kedua ATNM musim pertama, Epul membawa lagu bertajuk “Dramaking” dari kumpulan Drama Band. Hos ATNM, Sherry Alhadad, berkata, ketika nyanyian Epul berada di peringkat tertinggi, hampir kesemua juri bangun dan menyokong beliau.
“Nyanyian yang sangat menakjubkan, kawalan suara yang bagus. Lihatlah, hampir semua juri bangun!,” kata Sherry Alhadad ketika mengacara program realiti tersebut.
Sebanyak 98% markah berjaya diperoleh Epul. Ini kerana markah adalah berdasarkan juri-juri yang bangun dan menyokong ketika beliau mempersembahkan nyanyiannya itu.
Dato’ AC Mizal selaku ketua juri dan bertanggungjawab untuk memilih peserta yang layak ke pusingan seterusnya memilih Epul kerana Epul mempunyai gaya tersendiri dan pemilihan lagu yang bersesuaian untuk pertandingan ini.
Epul, seorang pengusaha nenas, berasal dari Ampang, Selangor juga baru membina rumah tangga bersama rakan sekolahnya, telah menyertai ATNM dan memukau hampir kesemua juri yang berada di pentas.
Beliau sememangnya telah bergiat aktif dalam bidang nyanyian ketika menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan menjadi vokalis kumpulan nasyid Intracksee di kampus.
Pada tahun 2017, Saiful dan empat orang anak muda lain iaitu Hisyam Elharith, Afeeq Ameen, Mohammad Hannan, dan Nor Mohd Shapuan yang juga bekas penuntut di USIM bersepakat memperkenalkan nama baharu iaitu Marhaen.
All Together Now Malaysia yang menampilkan 50 orang juri yang terdiri daripada golongan selebriti terkenal tanah air, penyampai radio, para penyanyi, pelawak dan vokalis ternama antaranya seperti Dato’ AC Mizal (Ketua Juri), Zizan Razak, Andi Bernadee, Khai Bahar dan ramai lagi. ATNM boleh ditonton pada setiap hari Jumaat di Astro Ria jam 9.00 malam atau menerusi aplikasi Astro Go.
Comments
Post a Comment