Nabilah Fasihah Ahmad Yusoff, 21, (hujung kanan di bawah) bersama rakan kelab Sahabat FAQEH semasa persembahan program OKU BERDOA 5.0, USIM. - Foto Nabilah Fasihah Ahmad Yusoff
NILAI: Pengorbanan seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang gigih menceburi bidang bahasa isyarat untuk menyantuni ibu yang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan menyertai kelab Sahabat FAQEH USIM sejak awal tahun dua pengajiannya.
Berkongsi kisahnya, Nabilah Fasihah, 21, pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi USIM yang kini menetap di Ayer Molek, Melaka, berkata, beliau simpati melihat ibunya, Norzila Fazwani, 41, seorang suri rumah yang kurang upaya namun tetap cekal dalam menguruskan dan mendidik anak-anaknya.
Nabilah berkata, dengan mempelajari bahasa isyarat menjadikan dirinya lebih mudah untuk berkomunikasi dan membantu ibunya dalam menguruskan urusan seharian. Katanya juga, beliau sudah mempelajari bahasa isyarat ini seawal usia tujuh tahun, namun beliau ingin menambah kemahirannya lagi dengan mula menjadi ahli sahabat FAQEH USIM pada awal tahun dua pengajiannya.
“Persatuan ini menyediakan perkhidmatan mengajar bahasa isyarat dan menterjemah al-Quran menggunakan bahasa isyarat,” katanya. Dalam masa yang sama, Nabilah berkata, beliau melihat ini adalah peluang untuk menerokai cabang ilmu baru selain dapat memahami perbualan bersama ibu.
Menurutnya, mempelajari bahasa isyarat ini sangat menyeronokkan kerana ia salah satu bahasa yang unik. Namun, sedikit rasa terkilan apabila bahasa isyarat ini dipandang remeh oleh segelintir masyarakat normal kerana menganggap bahasa isyarat ini tidak penting.
Bagi Nabilah, kemahiran bahasa isyarat bukan sahaja terhad kepada mereka yang cacat pendengaran, malah boleh juga dipelajari oleh masyarakat normal bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih dari masyarakat.
Norzila Fazwani Mohd Noor, 41, ibu kepada Nabilah Fasihah, bersama suaminya -Foto: Nabilah Fasihah Ahmad Yusoff |
Sementara itu, Nabilah juga aktif dalam menyertai dan mengikuti program-program yang dianjurkan oleh kelab Sahabat FAQEH seperti program OKU BERDOA 5.0 yang telah diadakan di USIM pada 14 Disember 2019 lalu.
Pastinya bertambah pengalaman buat Nabilah apabila mula memahirkan diri dalam bidang bahasa isyarat dan menjadikan beliau lebih mudah untuk berkomunikasi dengan ibunya sekaligus mencipta lebih banyak kenangan manis bersama.
Comments
Post a Comment