NILAI: Nardilla Syahiza binti Rosdi, 21 seorang mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan usahawan kek dan pastri dimana jualan beliau mendapat sambutan yang luar biasa sehingga mencecah 3000 bekas sebulan.
Melalui temubual bersama beliau, beliau memulakan bisnes kek ini pada tahun 2019 di pertengahan semester satu.
“Saya bercadang untuk memulakan bisnes di USIM ini kerana dengan membuat kek, saya boleh menampung perbelanjaan saya di universiti seperti membayar yuran pembelajaran dan juga untuk membeli buku-buku ilmiah. Saya juga rasa ini merupakan cara yang terbaik bagi saya untuk menjana pendapatan dengan membuat kek dan pastri secara ‘part time’ di USIM,” katanya.
Menurutnya, beliau hanya mengiklankan produk beliau hanya di USIM sahaja yang bertempat di ‘student mall’ memandangkan ‘student mall’ ialah tempat tumpuan semua mahasiswa USIM. Beliau juga dibantu oleh kawan yang lain dalam menjayakan bisnes ini.
“Saya ada menyewa satu ‘kiosk’ di ‘student mall’ USIM untuk berniaga, dengan ini juga dapat membantu para mahasiswa lain menjana pendapatan. Selain itu, saya juga ada meletakkan kek di fakulti USIM antaranya ialah Fakulti Sains dan Teknologi. Jarak fakulti dengan ‘student mall’ agak jauh, jadi ia dapat memudahkan para pelajar di fakulti tersebut untuk membeli kek,” katanya.
“Apa yang saya dapat simpulkan bahawa jualan kek di ‘student mall’ USIM sangatlah laris dan pelajar juga agak ramai sehinggakan jualan kek habis awal pada masanya. ‘Student mall’ ialah tempat tumpuan bagi semua pelajar USIM. Oleh sebab itu, jualan kek ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pelajar USIM dan juga maklum balas yang memuaskan,” katanya lagi.
Jualan kek dan pastri telah menarik minat orang ramai terutamanya pelajar USIM sendiri. Pengusaha kek yang juga seorang mahasiswa USIM berkata, perancangan beliau selepas daripada ini belum dirancang buat masa sekarang. Jika ada rezeki buat masa akan datang, beliau ingin meneruskan kerjayanya sebagai usahawan kek bagi menampung keluarganya.
Katanya semasa ditemui, cabaran yang dihadapi oleh beliau buat masa sekarang adalah meneruskan pembelajaran sambil menguruskan kek dan pastri. Beliau mengatakan bahawa tanggungjawab seorang pelajar ialah harus bijak menguruskan masa.
"Untuk membina perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah. Hakikatnya, jika tidak mahu mencuba atau berani menempuh cabaran, belum pasti kejayaan akan dikecapi. Bak kata pepatah, menggenggam bara api biar sampai menjadi arang," katanya.
Begitulah prinsip yang dipegang oleh Cik Nardilla yang merupakan usahawan kek di Universiti Sains Islam Malaysia sejak 2 tahun lalu.
Usahawan kek dan pastri, Nardilla Syahiza Binti Rosdi. - Foto Nardilla
Comments
Post a Comment