Bajet 2022: PerantiSiswa untuk pelajar IPT B40

Oleh Muhammad Farhan Munir Muthtar & Muhammad Safwan Shah-rul Amin

Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2022 mengenai inisiatif PerantiSiswa di Dewan Rakyat. -
Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bajet 2022 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021 yang melaksanakan inisiatif kepada mahasiswa iaitu PerantiSiswa untuk setiap pelajar golongan B40 di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan membekalkan sebuah tablet kepada mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan “Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

“Sepanjang tempoh pandemik, mahasiswa tetap meneruskan pengajian mereka dalam norma yang baharu. Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka adakalanya perlu meminjam peranti kawan atau terpaksa ke pusat internet di pekan untuk membuat tugasan. Malah, kadang-kadang ada juga antara mereka tidak dapat hadir ke kuliah online,” katanya.

Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif dalam membantu mahasiswa daripada golongan B40 untuk memudahkan mereka dalam menyiapkan tugasan dan menghadiri kelas secara dalam talian. 

“Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 450 juta ringgit di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira 65 juta ringgit untuk membekalkan sebuah tablet kepada pelajar IPT golongan B40,” katanya.

Oleh itu, Pakej PerantiSiswa memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pelajar di seluruh negara dari golongan B40 di institusi pengajian tinggi.

 

Comments