Oleh Siti Maryam Kamal & Norafifah Rohaidi
KUANTAN: Ahli keluarga menyokong keterlibatan pelajar dalam sesi pembelajaran atas talian yang masih diteruskan oleh sebahagian universiti di Malaysia buat masa ini.
Ekoran daripada penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia pada awal pandemik COVID-19, pihak pengurusan bagi setiap institusi telah membuat keputusan untuk mempraktikkan pembelajaran secara atas talian sebagai langkah inisiatif untuk memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan.
Sehubungan dengan itu, sehingga kini kebanyakan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) masih meneruskan pembelajaran mereka secara atas talian meskipun sebahagian institusi telah mula dibuka. Namun begitu, ianya tidaklah menjadi masalah buat pelajar kerana mereka mendapat sokongan yang baik dari keluarga mereka.
Berikutan itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cawangan Darul Quran, Nurul Nabihah Binti Abdul Latif, 23, berkata keluarganya sentiasa memastikan dia dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada sesi pembelajaran yang diadakan secara atas talian. Jadinya, mereka tidak akan mengganggunya sepanjang sesi pembelajaran sedang berlangsung.
Selain itu, dia turut berkata sepanjang tempoh pembelajaran diadakan secara atas talian, ibunya merupakan salah satu individu yang banyak membantu memudahkan urusannya.
“Sekiranya saya perlu menyertai kelas atas talian pada waktu pagi, ibu saya akan membangunkan saya awal pagi ataupun memastikan saya sudah bersedia lebih awal untuk menyertai kelas pada pagi tersebut,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, bagi pelajar dari Fakulti Quran dan Sunnah, Nabilah Mardiah, 21, yang tinggal di daerah Kuala Krai, Kelantan berkata, dia mendapat sokongan penuh dari keluarganya sepanjang pembelajaran atas talian walaupun baginya sedikit cabaran dan kekangan masa untuk menguruskan hal antara keluarga dan pembelajaran.
Jelasnya, keadaan di rumah sangat kondusif dan menyenangkan untuknya belajar. Dia juga tidak menghadapi apa-apa halangan untuk belajar dengan selesa, namun apa yang diharapkan adalah peluang untuk lebih fokus terhadap pembelajaran bersama rakan-rakan di kampus secara bersemuka.
“Pada mulanya, saya merasakan duduk di rumah adalah yang terbaik kerana kos pengajian lebih jimat dan dapat bersama keluarga, namun memasuki tahun tiga ini, perasaannya berubah dan berbolak balik untuk kembali ke kampus lagi,” katanya.
Dengan sokongan daripada ahli keluarga, pembelajaran secara atas talian tidak menghalang pelajar USIM untuk berjaya.
Comments
Post a Comment