NILAI - Menerusi sidang media bertarikh 14 September 2021, YB Datuk Seri Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menetapkan 15 Oktober 2021 sebagai tarikh bermula kemasukan pelajar ke kampus institusi pengajian tinggi secara berperingkat.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mula menerima pelajar-pelajar Fasa 1 yang mendaftar bermula pada 15 Oktober 2021 di kolej-kolej kediaman yang telah ditetapkan.
Selain mematuhi SOP digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak pengurusan IPT juga mengeluarkan garis panduan mereka sendiri bagi pematuhan lebih ketat.
Apabila ditanya tentang persediaan pihak pengurusan untuk menerima pelajar-pelajar pulang mendaftar, Pengetua Kolej Kediaman Nilam Court USIM, Dr. Syaza Azhari berkata, antara persediaan yang dilakukan adalah pihak USIM mengeluarkan surat kebenaran dan SOP kepada pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus.
“Para pelajar digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera semasa mendaftar di kolej untuk memudahkan pihak pengurusan menyemak dokumen lengkap dua dos vaksinasi,” katanya dan beliau memberitahu proses pendaftaran di kolej kediaman itu melibatkan beberapa badan pelajar sebagai sukarelawan yang ditugaskan untuk memeriksa suhu badan pelajar yang mendaftar dan mengenal pasti pelajar-pelajar yang bergejala untuk diasingkan dan dirujuk ke hospital.
Bagi menjawab persoalan berkaitan kepentingan kepada pelajar apabila mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada di kawasan kolej dan kampus, Dr. Syaza Azhari berkata, melalui pematuhan SOP yang telah ditetapkan ini ialah para pelajar dapat menangani risiko apabila pihak universiti mengadakan pelbagai program yang melibatkan penyertaan ramai pelajar.
“Selain itu, kebajikan pelajar sepanjang berada di kolej atau sekitar kampus akan lebih terjamin kerana pihak pengurusan akan mengambil cakna akan keselamatan para pelajar dengan mengeluarkan notis makluman kes Covid-19 yang berlaku di sekitar mereka untuk para pelajar mengambil maklum dan melakukan kuarantin kendiri (self-quarantine),” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, beliau juga menasihati para pelajar agar sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di kawasan kolej kediaman mahupun di luar kawasan kolej. Dan beliau juga meminta kepada pelajar untuk segera memaklumkan kepada Felo kolej kediaman masing-masing sekiranya para pelajar mendapati diri mereka mempunyai gejala-gejala Covid-19 untuk segera diambil tindakan.
Comments
Post a Comment