Oleh Nur Afiqah Suhaimi & Nur Afiqah Mohd Lokman |
Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut Aidilfitri bersama-sama di Kolej Kediaman Nilam Court, Nilai. - Foto Utusan Malaysia |
SEREMBAN: Oleh kerana kes harian Covid-19 semakin meningkat, Mohd. Ley Fadzly Plesly, 19, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tetap tabah beraya berjauhan daripada keluarga. Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang lain telah pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Mohd. Ley terpaksa membuat keputusan untuk beraya di kampus disebabkan harga tiket yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit. "Memikirkan tiket penerbangan yang mahal ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di seluruh negeri, saya berasa sedih kerana tidak dapat pulang untuk menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang," katanya. Mohd. Ley yang berasal dari Tawau, Sabah, telah mengambil keputusan ini sejak bulan Ramadan lagi. Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini sudah memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa tidak dapat pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri ini. "Pada Aidilfitri yang lepas, biasanya saya akan membantu ibu saya berniaga kuih raya secara kecil-kecilan di kampung. Tetapi pada tahun ini agak berbeza sedikit, ibu hanya menghantar kuih raya yang dibuat oleh ibu sendiri melalui pos kepada saya," katanya lagi. Selain itu, Mohd. Ley sendiri berkata antara sebab tidak pulang ke kampung halaman kerana khuatir tiada kemudahan seperti internet untuk menyiapkan segala tugasannya yang diberi oleh pensyarah. Seorang lagi pelajar Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), Ahmad Haziq Ahmad Eaddie Hafizi, 21, yang membesar di Kampung Seberang Takir, Terengganu berkata, dia tidak akan balik ke kampung halaman kerana risau bahayanya penularan wabak Covid-19 terutama kepada keluarganya. Haziq sudah memberitahu ibu dan bapa mengenai keputusannya ini dan mereka pada mulanya berdukacita dengan keputusannya namun akhirnya keluarganya mengerti. Dia juga merenungkan kes harian yang amat tinggi dan mahu keluarga selamat, sihat dan terhindar daripada wabak tersebut di kampung halaman. “Tambahan pula, saya akan menduduki peperiksaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Jadi, saya boleh menggunakan waktu tersebut untuk menyiapkan tugasan dan fokus kepada ujian nanti,” kata Haziq yang merupakan penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang. Sementara itu, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar USIM, Mohd Salehudin Sukor berkata, pihaknya akan menyediakan makanan khas bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di pagi raya bagi penuntut yang tidak balik ke kampung halaman. “Pihak kami akan menyediakan makanan kepada seramai 66 penuntut tempatan dan 40 penuntut antarabangsa pada pagi raya bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman,” katanya. |
Comments
Post a Comment