Dua beradik terima ijazah sarjana muda USIM serentak

Oleh Nurul Nasuha Rosman & Nabilatul Huda Halim

Fateen Awateef (kanan) bersama kakaknya Fatin Ajmalhani memegang skrol ijazah mereka. - Foto Fateen Awateef

NILAI: Dua beradik kelahiran Pasir Mas, Kelantan dianugerahkan ijazah sarjana muda bersama-sama di Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-19 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC) USIM, Nilai di sini, semalam.

Fatin Ajmalhani, 24, graduan Fakulti Ekonomi Muamalat dan Fatin Awateef, 23, graduan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, telah menerima ijazah masing-masing yang turut dihadiri  ahli keluarga mereka. 

Juga turut dikongsikan oleh mereka mengenai bagaimana perjalanan mereka untuk diterima masuk ke USIM sehingga tamat pengajian selama empat tahun di USIM ketika ditemu bual semalam.

Fatin Awateef berkata, mereka berdua tidak mempunyai rancangan untuk menyambung pelajaran di tempat yg sama. Beliau juga tidak meletakkan pilihan universiti ini sebagai yang utama, sebaliknya melihat kursus dan minat yang bakal di ambil sebagai satu pilihan semasa membuat permohonan kemasukkan universiti. Beliau turut bersyukur kerana telah berjaya diterima masuk ke USIM bersama kakaknya yang juga merupakan pelajar di USIM. 

“Bagi saya sendiri, cabaran terbesar yang saya hadapi ketika belajar di USIM adalah terkandas di kolej disebabkan PKP. Beruntung juga kerana saya seorang Jaksa di Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC), jadi segala tugas yang ada untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar lain di sana, membantu saya terhindar daripada rasa tertekan dan bimbang terhadap situasi tersebut,” sambungnya lagi. 

Menurut Fatin Ajmalhani pula, cabaran yang dilalui sepanjang pengajian ialah beliau telah jatuh sakit yang menyebabkan terpaksa ulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan terpaksa menangguhkan pelajaran untuk satu semester atas nasihat doktor ketika berada di tahun empat. Pada ketika itu, keputusan tersebut sedikit sebanyak telah mengganggu emosinya kerana terlepas banyak perkara dan sudah tidak berada di tahap yang sama dengan rakan kuliahnya.

“Namun, atas sokongan dan dorongan yang diberikan oleh keluarga telah membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan pelajaran sehingga akhirnya berjaya untuk bergraduasi secara fizikal,” tambahnya lagi.

Untuk Majlis Konvokesyen USIM kali ke-19 ini, seramai 2188 graduan ijazah sarjana muda, 94 graduan dari pengajian sarjana dan 70 graduan doktor falsafah menjadikan jumlah keseluruhan seramai 2352 orang pelajar.  


Comments