NILAI: Graduan autisme, Ahmad Zahiruddin Zailani, 25, tidak menjadikan kelemahan pada dirinya sebagai penghalang untuk berjaya dalam pelajaran dan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ahmad Zahiruddin merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik. Ibu bapanya, Hanes Mohd Nasir dan Zailani Ahmad, yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada anak mereka juga turut hadir pada majlis graduasi tersebut. Penantian selama empat tahun membuahkan hasil yang bermakna buat mereka.
Beliau berkata “Saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran pada tahun hadapan dan berimpian untuk menjadi pakar teknologi bagi golongan berkeperluan khas.”
“Ketika menjalani latihan industri, saya berjaya menghasilkan 40 video live streaming bagi membantu dalam subjek Syariah dan Usuluddin," ujarnya ketika ditemui selepas menerima ijazah pada hari tersebut. (dipetik dari Berita Harian)
Walaupun dilahirkan sebagai anak autisme, Zahiruddin sebelum ini juga pernah menjadi Ikon Autisme, Anugerah Dari Hati Ke Hati anjuran Bank Rakyat, dan merupakan graduan diploma Darul Quran JAKIM yang sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.
Menurutnya, antara tip kejayaan hidupnya adalah melazimi bacaan Al-Quran dan pengamalan makanan sunnah. Dengan usaha dan kesungguhan anak muda ini, kecemerlangan sejak di bangku sekolah dalam bidang akademik amat cemerlang sehingga memudahkan beliau menamatkan pengajian dengan lulusan ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan Kepujian.
Kejayaan Ahmad Zahiruddin ini telah membuka mata masyarakat bahawa golongan austime boleh berjaya dan cemerlang. Dengan itu, semua pihak wajar ambil cakna dan memberi peluang terhadap golongan autisme untuk memastikan mereka mendapat tempat yang sama taraf dalam masyarakat.
Comments
Post a Comment