Bacaan tilawah Al-Quran oleh Qari Ammar Mukhlis. - Foto Facebook
NILAI: Sempena memperingati detik kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program ‘USIM Berselawat’ yang merupakan simbolik kasih USIM diadakan secara maya sempena sambutan Maulidur Rasul 1443 H. Bagi memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia mengambil inisiatif dengan mengadakan program 'USIM Berselawat' yang disiarkan secara langsung di platform Facebook Pusat Islam. Program USIM Berselawat ini disambut meriah dengan kehadiran pelajar Universiti Sains Islam Malaysia dan juga orang awam. Program ini juga turut dihadiri oleh TNC HEP USIM, Prof. Madya Dr Mohd Rushdan, Pengarah Pusat Islam iaitu Dr Asharaf, Habib Nael Tahir dan dua Qari iaitu Umar Syazuli dan Ammar Mukhlis juga merupakan mahasiswa dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM. Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh moderator, diiringi dengan persembahan qasidah oleh kumpulan qasidah jemputan. Seterusnya, bacaan tilawah al-Quran oleh Qari Umar Syazuli yang merupakan mahasiswa USIM dan juga johan tilawah al-Quran pringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2021. Bacaan qasidah oleh kumpulan qasidah jemputan juga seterusnya mengiringi bacaan tilawah sebelum dilanjutkan dengan bacaan tilawah oleh qari yang kedua, Qari Ammar Mukhlis yang merupakan mahasiswa USIM dan juga johan tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2021. Program ini juga diperindahkan lagi dengan bacaan maulid Dhiyaul Lami oleh Ustaz Nizar Yusouf dan diteruskan dengan ucapan Timbalan Naib Canselor USIM, PM Dr. Mohd Rushdan. 'USIM Berselawat' secara maya ini seterusnya diakhiri dengan tausiyah dan doa oleh Habib Nael Tahir bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19 serta selawat secara beramai-ramai. Sambutan tahunan Maulidur Rasul pada tahun ini bertemakan 'USIM Berselawat' yang bertujuan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dan memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Semua pihak berharap agar dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan lagi rasa cinta dan sayang terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW. |
Oleh Nur Alia Maizurah Mohd Azman & Intan Nur Alyaa’ Che Mohd Mahyudin
Comments
Post a Comment